Halaman

18 January 2012

Pertandingan hias rumah Kampung Cina papar keunikan senibina

Dato' Toh Chin Yaw berkesempatan memasang beberapa tanglung di sekitar Kampunf Cina bagi menyemarakkan lagi perayaan Tahun Baru Cina. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Kreativiti komuniti menghias rumah serta kedai sempena pertandingan menghias rumah dapat mempromosikan keunikan arkitek bangunan di Kampung Cina, sekaligus menyemarakkan lagi sambutan perayaan kaum Tionghua itu minggu depan.

Inisiatif MCA Bahagian Kuala Terengganu itu juga dapat menarik lebih ramai pelawat ke penempatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata program yang bertemakan 'Naga Bertuah Menyambut Musim Bunga' mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Koperasi dan juga Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Cina.


"Sebanyak 50 penyertaan yang sudah diterima pada tahun ini dan kali ini sambutan lebih baik daripada penduduk setempat berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika sidang media, di Kampung Cina, semalam (17 Januari).

Katanya, pertandingan yang bermula pada 13 Januari sehingga 21 Januari ini bertempat di Kampung Cina, Kuala Terengganu menawarkan hadiah utama berjumlah RM3,888, naib johan RM2,888 dan tempat ketiga RM1,888.

Sementara 10 hadiah sagu hati bernilai RM388 setiap satu, selain imbuhan kepada tujuh penyertaan terbaik.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dijadualkan pada malam 21 Januari ini.Turut diadakan acara selingan termasuk persembahan pentas.

Sebelum itu, menurut Dato’ Toh, pihaknya turut menjalankan aktiviti gotong-royong dan pemeriksaan kesihatan kepada warga emas, selain pertandingan fotografi yang bertujuan memaparkan keindahan budaya dan warisan penduduk sekitar Kampung Cina.