Halaman

18 January 2012

JKR perlu RM20 juta baiki jalan rosak

Oleh; Esah Abdullah



Sebanyak RM 20 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan jalan bagi seluruh negeri ini selepas kejadian hujan dan banjir pada musim tengkujuh lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Shafii Muhamad berkata, peruntukan ini berdasarkan kajian awal yang dibuat oleh pihak JKR dan konsesi berdasarkan laporan oleh jurutera di setiap daerah.

“Hasil laporan yang diterima, kita dapati banyak jalan persekutuan yang rosak teruk berbanding jalan negeri kerana jalan itu menjadi laluan utama untuk semua jenis kenderaan.

“Walaupun peruntukan dari Kerajaan Persekutuan belum diperoleh tetapi JKR telah mengambil tindakan awal dengan melakukannya secara berperingkat mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ismail Mohd, 75, mangsa kemalangan akibat mendapan jalan yang menerima rawatan di Hospital Setiu serta meninjau proses membaiki jalan tersebut.

Sempena lawatan itu, Setiausaha Politik, Menteri Kerja Raya, Dato’ As’ari Ibrahim mewakili menteri dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee turut bersama-sama meluangkan masa melawat Ismail serta melihat perkembangan terkini kerja baik pulih jalan.

Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau jalan yang rosak, Ir Shafii berkata, jawatankuasa itu sememangnya sudah diwujudkan dan jurutera di setiap daerah sentiasa peka mengenai masalah itu.

“Setakat ini kita tidak berdepan sebarang masalah kerana pihak JKR telah bekerjasama dengan syarikat konsesi bagi setiap tindakan yang dilakukan di samping laporan terus kepada ibu pejabat atau pihak kementerian.

“Jadi kita mengharapkan kejadian malang tidak akan berlaku lagi di kawasan ini atau di tempat lain kerana ia adalah bencana alam yang tidak dijangka” katanya.

Sementara itu, Dato’ As’ari berkata, JKR telah pun mengambil tindakan segera dengan menutup sistem pembentung air yang bocor di kawasan yang berlaku mendapan sehingga mengakibatkan kemalangan dua hari lepas.

“Saya mengharapkan tindakan susulan dapat dilakukan segera jika mendapati masih ada jalan yang berisiko kepada pengguna jalan raya,” katanya.