Halaman

16 January 2012

Pemuda Marang dekati masyarakat Tionghua

Oleh: Aida Abd Rahman

Sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi Pemuda Umno Marang mengambil inisiatif menganjurkan Program Jelajah 1Malaysia bagi mendekati masyarakat Tionghua di sekitar parlimen itu, kelmarin (13 Januari).

Ketuanya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata sebanyak 250 hamper makanan diagihkan kepada masyarakat itu hasil lawatan dari rumah ke rumah melibatkan enam kawasan kampung dan juga taman di sekitar Marang sejak jam 8 pagi lagi.
Beliau yang merangkap Ketua Pemuda Umno negeri, berkata antara kampung yang dilawati termasuk Taman Padang Midin, Taman Tasik Wakaf Dua, Taman Seri Kiambang, Taman Jasa Padang Midin, Kampung Pengadang Baru dan Kampung Tiruk.

“Program itu bagi mengeratkan jalinan muhibah dan perpaduan di kalangan Pemuda dengan masyarakat Cina, selain sama-sama memeriahkan sambutan perayaan Gong Xi Fa Cai yang bakal diraikan masyarakat itu beberapa hari lagi.

“Penglibatan lebih 30 Pemuda Umno dalam program itu juga membuktikan keprihatinan dan jalinan kemesraan antara kita tanpa mengira kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, program yang julung kali dijalankan itu juga turut mendekati penduduk kampung sambil menikmati makan tengah hari yang disediakan di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Binjai Berambu di Parlimen Marang, Encik Ramli Sulong.

“Kami berhasrat untuk meneruskan lagi program seumpama ini kerana ia memberi impak yang amat positif selain memupuk budaya perpaduan dan ikatan persaudaraan yang lebih kuat,” katanya.

Sebelum itu, pihaknya turut menganjurkan program `Jom sekolah’ pada hari pertama sesi persekolahan yang mendekati kira-kira 800 murid di lima sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, baru-baru ini.

“Program itu berjaya mendekati murid-murid selain mengagihkan sumbangan alat tulis bagi menaikkan moral dan semangat mereka belajar bermula awal tahun lagi,” katanya.