Halaman

21 January 2012

Jabatan Perikanan pelawa orang ramai sertai sukarelawan penyu

Oleh; Esah Abdullah

Jumlah pelancong dari luar negara yang menawarkan diri untuk menjadi ‘sukarelawan penyu’ meningkat setiap tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Encik Zakaria Ismail berkata, sikap ini amat menyerlah terutama pelancong dari Australia, England, Jerman dan Amerika Syarikat yang berminat menyertai program jabatan untuk mengawal pantai, membantu menanam telur penyu dan pemeriksaan sarang.

“Jabatan juga menggalakkan rakyat tempatan menjadi sukarelawan dan semangat kerjasama ini dapat membantu jabatan untuk menjaga hal ehwal habitat berkenaan,” katanya

Katanya hampir saban tahun jabatan terima permohonan daripada mereka untuk menyertai aktiviti yang dijalankan dan mereka begitu seronok menjalankan kerja-kerja sukarelawan ini di samping menikmati suasana damai di sini.

“Dengan cara ini kita dapat memberitahu dunia luar bahawa negara kita sangat mengambil berat tentang pemuliharaan penyu agar tidak pupus,” katanya.

Encik Zakaria juga memberitahu pihaknya telah berjaya menghasilkan lebih 86,000 ekor penyu karah melalui program penetasan penyu yang dilaksanakan sejak 1996 hingga 2010, bertujuan menyelamatkan penyu berkenaan daripada kepupusan.

Katanya, jumlah anak-anak penyu berkenaan adalah daripada1,123,648 biji telur yang dieramkan dan kesemua anak penyu itu dilepaskan ke laut untuk membesar.