UMNO Terengganu telah menyiapkan bancian sikap dan profil kira-kira 69,000 pengundi luar sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Ahmad Said berkata, menerusi bancian yang dijalankan jentera parti setiap cawangan itu, akan memudahkan pihaknya berhubung dengan kumpulan berkenaan.
"Kita ada semua maklumat pengundi luar yang kebanyakkanya golongan muda seperti nombor telefon, alamat tempat tinggal, alamat semasa dan pekerjaan.
"Data yang sentiasa dikemaskini itu memudahkan jentera parti berhubung dan minta mereka pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang hari ini.
Penutupan program tiga hari itu disempurnakan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan dihadiri 421 anggota parti termasuk kepimpinan Wanita, Pemuda, Puteri dan Vateran parti.
Dato' Seri Ahmad memberitahu, banciap sikap terhadap pengundi luar merupakan segmen penting persiapan UMNO menjelang pilihan raya.
Katanya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana golongan berkenaan berupaya menentukan kalah atau menang parti dalam sesuatu pilihan raya.
"Saya meminta semua kepimpinan UMNO pelbagai peringkat supaya menggunakan data dan maklumat bancian serta mengemaskini dari semasa ke semasa," jelasnya.