Halaman

19 January 2012

Mahu jumpa Perdana Menteri ucap terima kasih

Oleh FAUZI MOHD



Seramai 1,569 orang dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Kemaman gembira selepas menerima sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap seorang di Dewan Sivik Kampung Kijal Darat, baru-baru ini.


Seorang penerima, Mohd. Kamaruzaman Abdullah, 55, menyifatkan bantuan itu sebagai satu 'hadiah' daripada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan kerajaan yang begitu prihatin dengan keperluan rakyat.

"Walaupun bantuan RM500 ini tidak pernah dijanjikan oleh kerajaan, namun ia dihulurkan kerana Perdana Menteri kita memikirkan beban yang harus ditanggung rakyat.

"Jika berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri, saya mahu ucap terima kasih kepada beliau kerana sentiasa memikirkan hal rakyat dan mencari pelbagai jalan untuk membantu golongan berpendapatan rendah," katanya kepada Teganukita.

Pesara tentera, Ibrahim Ahmad, 56, berpendapat BR1M membuktikan kerajaan adalah prihatin dan mahu rakyat hidup lebih sejahtera.

"Masalah rakyat sentiasa diutamakan, ini yang tidak ternilai. Bantuan ini juga adalah untuk menghargai rakyat yang terus memberi sokongan kepada kerajaan walaupun di sebalik dakyah dan tohmahan pihak tertentu," katanya.

Hadir menyampaikan bantuan berkenaan, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal serta isteri, To' Puan Seri Norliza Mahmud.

Dalam pada itu, Dato' Seri Ahmad turut menempelak sikap pemimpin parti pembangkang yang sering menyebarkan pelbagai dakyah berkaitan bantuan tersebut.

"Setiap bantuan yang diberikan berdasarkan kemampuan kerajaan dan tidak timbul bahawa negara akan muflis jika berterusan memberikan bantuan seperti ini seperti difitnahkan oleh pembangkang.

"Pemberian ini juga bukan untuk menggula-gulakan rakyat sempena pilihan raya umum akan datang. Kita percaya rakyat sudah bijak untuk menilai," katanya.