Halaman

17 January 2012

Exxonmobil iktiraf 25 guru unggul

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi mengiktiraf peranan guru di negeri ini dalam memacu serta memartabatkan bidang pendidikan, Syarikat Exxonmobil memperuntukkan RM37,500 sebagai ganjaran kepada 25 guru unggul seluruh Terengganu sempena majlis makan malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, malam tadi.



Majlis anugerah anjuran syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak kepada setiap pemenang.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.



Kesemua 16 guru wanita dan sembilan guru lelaki daripada 24 sekolah rendah dan menengah itu terpilih selepas menjalani saringan dan proses temuduga daripada 100 permohonan awal kepada syarikat itu.

Penolong Pengurus Pengeluaran Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata majlis penganugerahan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan mennghargai perkhidmatan golongan pendidik yang berjaya menunjukkan pencapaian serta prestasi cemerlang dalam memperkasa pendidikan anak negeri ini.

"Exxonmobil sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan pendidikan yang baik. Malah, kita percaya pendidikan yang cemerlang lahir daripada guru yang unggul," katanya.