Semangat kerja berpasukan perlu diterapkan dalam diri di samping menjadi amalan dalam kehidupan bermasyarakat bagi menyemarakkan budaya orang dahulu agar tidak hilang ditelan zaman.
“Sikap itu juga ditagih daripada warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang bertindak sebagai tulang belakang kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat di kampung-kampung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.
Harapan itu dilontarkan dalam majlis ramah mesra dengan kakitangan Kemas DUN Batu Rakit yang diadakan di Gem Beach Resort, Batu Rakit baru-baru ini.
Katanya, semua warga Kemas perlu persiapkan diri dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatan kepada masyarakat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Tambahnya, setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh Kemas biarlah bersesuai dengan komuniti setempat dan sentiasa melipatgandakan usaha memberi perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat, agama bangsa dan negara.
Dalam majlis berkenaan 50 orang kakitangan Kemas pelbagai jawatan yang bertugas dalam DUN diraikan sebagai menghargai sumbangan kepada masyarakat yang berterusan tanpa jemu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri itu juga memuji langkah Kemas yang menyusun program membabitkan golongan kecil hingga warga emas termasuklah membuka kelas memasak, gubahan, menjahit di samping kelas bimbingan kanak-kanak.
“Hubungan baik antara petugas Kemas dengan masyarakat kampung memudahkan penyaluran maklumat kerajaan terus sampai ke akar umbi,” katanya.