Persembahan tarian singa dan naga sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 melibatkan seluruh daerah disertai semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Program kesenian yang diusahakan Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun-KT) disertai lapan Melayu, tiga masyarakat Siam, seorang India dan selebihnya Cina itu menampilkan tradisi kaum Tionghua yang boleh diterima oleh semua terutama rakyat Terengganu.
Penaung Kesun, Tengku Sri Temenggung Raja, berkata selain persembahan tarian singa dan naga yang boleh dilhat oleh rakyat seluruh Terengganu dengan lebih dekat, turut dijalankan program sampingan Kempen Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.
“Sebenarnya tarian singa ini amat unik dengan corak bewarna-warni, apatah tahun ini merupakan tahun naga, saya percaya kehadiran tarian singa dan naga ini dapat menyerikan lagi sambutan tahun baru cina kali ini.
“Saya juga dimaklumkan oleh Dato’ Alex Ong sempena tahun naga air ini, Kesun menempah seekor naga dari China sepasang singa bagi mengisi jadual persembahan sempena Tahun Baru Cina 2012,” katanya ketika melancarkan tarian singa Kesun 2012 di depan pasar raya Mydin Mall, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Presiden Kesun, Dato’ Alex Ong dan Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYdin), Encik Murad Ali Mydin.
Selain itu, seramai 20 warga emas dan Orang Kelainan Upaya juga diraikan serta menerima bantuan sempena acara itu.