Halaman

19 January 2012

BRIM pemberian ikhlas kerajaan untuk rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri kesal dengan tindakan pihak tertentu yang sanggup mempengaruhi penduduk kampung agar tidak mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dengan dakwaan kononnya bantuan tersebut adalah tindakan kerajaan untuk memancing undi.

“Mereka sungguh-sungguh minta rakyat jangan isi borang tu (BRIM) dan jangan harap duit tu kerana memang ia tidak dapat pun,” katanya di majlis penyampaian BRIM bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, petang semalam.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik dan Penghulu Mukim Kuala Nerus, Encik Muhamad Abu Bakar.

Dato’ Haji Mohd Nasir berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan terbongkar bila ada orang datang kepada beliau di majlis penyampaian bantuan BRIM di DUN Seberang Takir menyatakan kekesalan kerana mereka tidak mengisi borang BRIM.

“Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan membela rakyat tanpa mengira fahaman politik Pas, DAP, Keadilan ke semua dapat bantuan ini,” katanya.

Menurutya, pihak penyelaras berjaya mengesan siapa dalang yang menghasut orang kampung malah dia ada dalam senarai sebagai orang pertama yang mengisi borang BRIM.

Dato’ Haji Mohd Nasir kemudiannya meminta orang ramai masih belum terlambat untuk mendapatkan RM500 pemberian kerajaan BN kerana tarikh daftar telah dilanjutkan hingga 10 Februari depan.

Seramai 11,836 penerima BRIM dalam Parlimen Kuala Nerus membabitkan peruntukan RM591,800, yang mula diagihkan sejak 15 Januari lalu dan jumlah ini termasuklah dari DUN Bukit Tunggal (2,336 orang), Seberang Takir (2,500), Tepoh (4,000) dan Teluk Pasu, (3,000).

“Ini agihan peringkat pertama dan bila kerajaan lanjutkan tempoh permohonan, saya yakin masih ada yang tercicir dulu dan yakin perkara ini dapat diselesaikan sepenuhnya akhir bulan depan,” katanya