Halaman

19 January 2012

Taman Lebah pasar 20 produk madu, baka lebah Australia

Oleh FAUZI MOHD

Produk madu lebah yang kini mendapat sambutan daripada penduduk negara ini kerana khasiatnya yang tinggi mendorong sebuah syarikat, Taman Lebah Enterprise di Jambu Bongkok, Marang untuk memasarkan keluarannya secara lebih agresif.


Dalam tempoh lima tahun ditubuhkan, syarikat berkenaan boleh berbangga kerana berjaya memasarkan 20 jenis produk daripada madu lebah yang kini semakin mendapat sambutan pelanggan.

Pengurus syarikat berkenaan, Nor Ehsan Abd. Rahman berkata, jualan produk-produk jenama Giant keluaran syarikat itu kini mencecah sehingga RM2,000 sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan manakala kira-kira RM300 pada hari biasa.

Menurutnya, antara produk yang dikeluarkan adalah madu lebah hutan, madu susu lebah, madu lebah, jeli raja, balm propolis, madu embun, madu larva, madu ginseng, madu tualang dan sabun propolis yang mampu merawat luka-luka kecil.



''Kebanyakan pelanggan kami merupakan penduduk Terengganu yang pulang bercuti ketika musim cuti persekolahan dan perayaan namun mereka yang tinggal di sekitar kawasan ini juga kini semakin mengenali produk kami," katanya ketika ditemui Teganukita di Taman Lebah Enterprise semalam.



Beliau berkata, taman lebah tersebut pada awal pembukaannya pernah menternak 40 sarang lebah jenis Itali yang setiap sarang menempatkan beratus ribu lebah namun projek itu tidak berjaya.

''Cuaca panas dan angin kuat menyebabkan lebah-lebah berkenaan tidak kembali ke sarang dan akhirnya projek itu ditamatkan hingga mengakibatkan syarikat kerugian lebih RM30,000," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu masih menternak lebah tempatan yang dikenali sebagai Lebah Kelulut untuk diambil sarang bagi dijadikan bahan dikenali sebagai propolis yang mampu merawat ulser dan mencuci buah pinggang.

''Orang ramai yang berkunjung ke taman lebah ini masih boleh melihat sarang ini yang dijadikan pameran.

"Bulan depan, kami akan membawa 20 lagi sarang lebah baka Australia untuk diternak di sini setelah mendapati ianya bersesuaian dan pulangan agak baik," jelasnya.

Beliau memberitahu, syarikat itu mempunyai sebuah lagi ladang ternakan di Bukit Katil, Melaka yang membekalkan madu dan sarang lebah untuk digunakan dalam penghasilan produk-produk syarikat tersebut.

''Syarikat ini juga membuka sebuah mini muzium mengenai lebah dan penghasilan produk lebah ini di Air Keroh, Melaka," jelasnya.