Kerajaan menganggarkan kerja-kerja mengatasi masalah akisan Pantai Tok Jembal menelan belanja RM81 juta, meliputi kos menambak dan membina benteng ombak di kawasan berkenaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sehingga ini pantai terbabit sudah terhakis 100 meter di mana jalan, gerai dan kemudahan awam di kawasan itu sudah dihanyut ke laut.
“Kerja-kerja membaikpulih akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik menerima kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Pusat,” katanya pada sidang media selepas meninjau ke kawasan hakisan di Pantai Tok Jembal hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Pebendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.
“Saya harap kementerian dapat meluluskan secepat mungkin agar kita dapat memulakan kerja-kerja membina benteng ini kerana jika kita lambat kerosakan ini akan merebak ke kawasan penduduk sekitar pula,” katanya.
Menurutnya, semua jentera kerajaan seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sudah menyiapkan rekabentuk serta anggaran perbelanjaan untuk projek berkenaan dan bersiap sedia untuk memulakan kerja dan kini hanya menunggu lampu hijau dari Pusat.
Tambahnya, kerajaan mengambil inisiatif membina benteng sementara bagi mengelak pantai terus terhakis akibat ombak yang mengganas.
Projek sementara pengawalan hakisan pantai kini sedang giat dijalankan menelan belanja RM19 juta yang terbahagi beberapa fasa termasuklah jajaran perlindungan pantai sejauh 515 meter (m) dengan kos RM2.5 juta.
Manakala jajaran fasa dua sejauh 1035m (RM6.5 juta) perlindungan pantai yang perlu dinaiktaraf di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 250m (RM1.3 juta) dan cadangan baru 1750m (RM10 juta).
Hakisan yang dikesan sejak 2009 ini menghadapi kesukaran untuk dipulih sepenuhnya kerana keadaan ombak besar akibat beberapa bencana sering terjadi dan kerajaan sentiasa membuat pemantauan terhadapnya.