Kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah hakisan pantai yang berlaku di pantai Tok Jembal untuk menyelamatkan lebih banyak harta awam dihanyut ombak ke laut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, projek pengawalan hakisan pantai sedang dilaksana melalui empat fasa membabitkan anggaran peruntukan RM19 juta.
“Fasa pertama membabitkan jajaran perlindungan pantai sepanjang 515 meter (m) dengan kos RM2.5 juta,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke pantai berkenaan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri itu menambah RM6.5 juta lagi untuk fasa dua (1035m) dan RM1.3 juta projek perlu naik taraf (250m) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, cadangan baru sejauh 1750 meter pula dijangka menelan belanja RM10 juta dan kesemua fasa ini sedang dilaksanakan satu persatu.
“Apa yang dilakukan ini berbentuk sementara bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah dan kerajaan sedang menunggu peruntukan Kerajaan Pusat untuk membina benteng kekal di situ,” katanya.
Tambahnya, kawasan Pantai Tok Jembal sebelum ini menjadi lokasi tumpuan masyarakat tempatan yang membawa keluarga bersantai di hujung minggu di samping menjamu selera dengan keropok, ikan , sotong serta udang celup tepung yang memang digemari ramai.
“Saya difahamkan setiap minggu lebih 2,000 orang berkunjung ke pantai ini tetapi kini tidak seceria dulu apabila lebih 100m kawasan pantai terhakis dan beberapa kemudahan awam termasuk bangku dan pondok rosak,” katanya.
Beliau menaruh keyakinan siapnya projek ini, tumpuan pelancong lebih ramai dan ini menaikkan nama Seberang Takir sebagai destinasi popular di negeri ini.