Halaman

21 January 2012

Peguam Negara failkan rayuan keputusan tepat - Hishammuddin

Oleh FAUZI MOHD

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi berpendapat tindakan Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, sebagai satu tindakan yang tepat.

"Secara peribadi atas undang-undang dan hak, ia adalah keputusan yang tepat.

"Bagi saya rayuan itu bukan isu kerana sesiapa sahaja yang dalam keadaan seperti itu, Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim) pun tetap akan merayu," kata Menteri Dalam Negeri itu kepada pemberita, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemukiman Kepimpinan UMNO Terengganu di Janda Baik, Pahang.

Petang semalam, Jabatan Peguam Negara menerusi satu kenyataan berkata, rayuan itu difailkan berdasarkan keterangan dan undang-undang, tanpa mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak.

Tambah Dato' Seri Hishammuddin, tindakan memfailkan rayuan itu merupakan tindakan pihak Peguam Negara sendiri dan menegaskan UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rayuan tersebut.

"Keputusan merayu dalam tangan Peguam Negara, beliau mesti ada alasan yang diperjelaskan beliau. Mangsa (Saiful Bukhari Azlan) dan keluarganya telah melalui penderitaan yang lama kerana hanya tuntut keadilan.

"Jadi, orang yang nak putar belitkan ini dalam PKR sebenarnya, mereka menafikan rayuan itu. Mereka tidak perjuangkan keadilan, perjuangan atas nama (parti) sahaja," katanya.