Halaman

10 February 2012

Sultanah Nur Zahirah melawat KTNZ



Oleh FAUZI MOHD

Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat melawat Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Kampung Tanjung Bunut, Manir, Kuala Terengganu petang tadi.

Baginda tiba di kompleks songket dan batik berkenaan kira-kira pukul 4 petang bersama puteri, Tengku Fatimatuz Zahra.

Ketibaan baginda disambut isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Azmi Razik.

Baginda turut diberi taklimat oleh Azmi berkenaan kompleks itu yang mula beroperasi 25 Mei tahun lalu dan kini menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu.

Kompleks yang dibina dengan kos RM4.6 juta itu mampu meningkatkan ekonomi negeri dengan kedatangan peminat songket dan batik dari dalam dan luar negara.

KTNZ juga akan menjadi pusat informasi berkaitan perkembangan dan pembangunan tekstil tenun songket bersepadu selain pusat penyelidikan serta menyalurkan khidmat profesional berkaitan seni dan teknologi bertaraf antarabangsa.



Sementara itu bercakap kepada pemberita, Dato’ Mohamed Awang berkata, Terengganu bakal mewujudkan Institut Kemahiran Sultanah Nur Zahirah yang akan dilaksanakan di KTNZ.

Katanya institut berkaitan songket, batik, ukiran kayu dan kraftangan itu akan dikelolakan YPU.

"Kita menjangkakan institut ini akan mula beroperasi pada pertengahan tahun ini dan kita menyasarkan golongan muda dan penduduk tempatan untuk mengikuti kursus di situ," katanya.





Beliau berkata pihaknya menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelajar dapat mengikuti kursus di institut itu dalam satu sesi dan setiap penuntut akan diberikan elaun sebanyak RM450 sebulan oleh YPU.

Katanya penuntut akan mengikuti kursus di institut itu selama setahun setengah dan penubuhan institut itu setanding dengan Institut Kraftangan dan sijilnya juga diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK).

Dato’ Mohamed berkata, penubuhan institut itu bertujuan menggalakkan remaja dan penduduk tempatan untuk mempelajari teknik pembuatan songket, batik dan kraftangan sekaligus dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

















09 February 2012

176 isteri Pengerusi JKKK Daerah Besut berkursus



Dr Wan Halim ketika berinteraksi dengan peserta

Oleh: Mohammad Ishak


Bukan sahaja Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sahaja yang sering dipilih mengikuti pelbagai kursus bagi melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan teknik menjadi pemimpin sebaliknya isteri mereka juga tidak terkecuali diberi kursus oleh pihak kerajaan.

Terbaru isteri Pengerusi,Setiusaha JKKK Daerah Besut, terpaksa mengikuti jejak suami mereka yang menjadi pemimpin komuniti apabila dipilih mengikuti bengkel “Ibu Kampung” bertujuan menyediakan kemahiran pendampingan dengan masyarakat.

Seramai 176 peserta menyertai bengkel sehari anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang berlangsung di Bukit Keluang Beach Resort, Besut, hari ini.

Bengkel pertama kali diadakan oleh YPKT itu dirasmikan oleh isteri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar ( Hajah Azizah N Omar) yang juga ADUN Kuala Besut.

Peserta mendapat bimbingan Pakar Sosiologi Klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, yang arif dalam bidang kekeluargaan dan komuniti.

Sepanjang mengikuti bengkel itu peserta dibagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan penceramah menyampaikan mesej melalui kumpulan berkenaan.

Antara slot yang dibincangkan termasuklah Jati Diri Isteri Pemimpin Komuniti, Pendampingan Dalam Keluarga dan sesi soal jawab bersama Dr Wan Halim.

Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, daerah Besut adalah program terakhir mengadakan bengkel seumpama itu dan ia menjadi peserta paling ramai di Terengganu yang menghadiri bengkel berkenaan.


Penduduk diminta bayar cukai tanah

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Tanah & Daerah Kuala Terengganu menyarankan pemilik tanah membuat pembayaran cukai tanah dengan segera bagi mengelak dikenakan denda dan tanah mereka diambil balik oleh kerajaan negeri.

Pentadbir Tanah, Haji Nawawi Wan Ismail, berkata pihaknya mengesan lebih 50 peratus daripada sejumlah 121,000 lot tanah di daerah Kuala Terengganu mempunyai tunggakan cukai tanah.

“Mereka gagal berbuat demikian kerana gemar bersikap tidak ambil penduli, memadang remeh mengenai peraturan ditetapkan, selain gagal mengesan waris selepas kematian pemilik asal.

“Tahun lalu, PDKT terpaksa mengeluarkan 20 Notis 8A kepada 20 pemilik bagi membolehkan tanah berkaitan dirampas mengikut akta yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, selepas mengadakan rundingan dan pemilik tanah itu bersetuju membayarnya, PDKT menarik balik tindakan itu serta menyerahkan kembali tanah tersebut.

“PDKT kesal dengan sikap pemilik tanah kerana tidak prihatin tentang tanggungjawab masing-masing walaupun terpaksa menanggung bebanan tunggakan berjumlah lebih RM100,000,” katanya kepada pemberita selepas memberi menyempurnakan taklimat kepada Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di pejabatnya, pagi ini.

Haji Nawawi turut memberitahu cukai tanah yang tidak dibayar mulai 1 Jun pada setiap tahun akan menjadi tunggakan dan boleh dikenakan denda lewat bayar.
“Pemilik tanah akan diberi surat peringatan untuk tempoh tertentu sekiranya mempunyai rekod lewat bayar dan tunggakan.

“Jika masih ingkar membayar, Pentadbir Tanah boleh menyampaikan Notis 6A dengan memberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskan segala urusan.

“Sekiranya tetap gagal berbuat demikian, tanah berkenaan boleh dirampas dan menjadi hak milik mutlak kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, membayar cukai tanah adalah menjadi tanggungjawab setiap pemilik di mana ia perlu membayarnya mulai 1 Januari sehingga 31 Mei setiap tahun.

“Penentuan kadar cukai yang perlu dibayar dikira berdasarkan keluasan dan kategori penggunaan tanah atau berpandukan Peraturan Tanah Terengganu.


Sultan mencemar duli lawat PDKT

Oleh: Suriati Ali

Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat melawat Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) dan mendengar taklimat mengenai pembangunan sekitar Kuala Terengganu, pagi ini.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Daerah, Haji Nawawi Wan Ismail dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan.

Taklimat disampaikan oleh Haji Nawawi meliputi pelbagai aspek, termasuk keseluruhan pembangunan dalam kawasan pentadbiran PDKT, sejarah penubuhannya, bidang kuasa, profil daerah, halatuju, struktur pentadbiran, carta organisasi, penubuhan daerah Kuala Nerus, dan fungsi serta peranan organisasi tersebut ke arah kesejahteraan penduduk.




LTdL 2012 : TSG buru kemenangan peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menyusun perancangan teliti untuk memastikan pelumba yang bakal mengibar cabaran pasukan itu pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bersedia memenuhi sasaran kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan keseluruhan edisi lalu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, TSG memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir menjelang perlumbaan yang masuk edisi ke-17 bermula 22 Februari hingga 4 Mac depan.

Menurut beliau, pasukan lumba basikal profesional yang ditubuhkan kerajaan negeri pada April tahun lalu itu telah menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun 2011 termasuk 13 kejohanan di luar negara.



“Apabila memasuki tahun 2012, pelumba TSG menyertai latihan intensif di Terengganu dan memasuki kem latihan di Chiang Mai, Thailand antara 3 Januari hingga 6 Februari lalu.

"Apa yang penting ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi menjelang bermulanya LTdL,” katanya pada majlis pelancaran TSG di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Persatuan Berbasikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar.



Tambah Dato’ Seri Ahmad, keyakinan sasaran itu di LTdL berdasarkan pencapaian TSG yang mencipta nama pada tahun lalu dengan menduduki tangga ke-4 daripada 70 pasukan dalam Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) Asia Tour.

Pada perlumbaan LTdL edisi ke-16 tahun lalu kata beliau, TSG berada kedudukan tangga ke-8 keseluruhan daripada 23 pasukan bertanding, manakala kedudukan ke-5 kategori Asia mengatasi pasukan negara.

“TSG telah menyambung kontrak lapan pelumba tempatan, mengambil dua pelumba baru dan mendapatkan khidmat tiga pelumba luar negara iaitu dua dari Korea dan satu dari Jepun serta kepakaran jurulatih dari Perancis, Sebastian Duclos,” ujarnya.

13 pelumba yang menggalas cabaran di LTdL ialah Mohamed Harrif Salleh, 23, selaku ketua pasukan; abangnya, Mohamed Zamri Salleh, 28; Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 22; Muhammad Shobry Abdullah, 21; Anwar Aziz Muhd Shaiful, 25; Mohd Shahrul Mat Amin, 22 dan Mohamad Saufi Mat Senan, 21.

Selain itu, Nur Amirul Fakruddin Marzuki, 20; Mohd Nor Umardi Rosdi, 25; Yusrizal Yusof, 21; Shinichi Fukushima, 40 (Jepun); Jang Chan Jae, 23 (Korea) dan Kim Do Hyeong, 25 (Korea).

Pada majlis itu, TSG yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato’ Mazlan menerima tajaan daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) sebanyak RM400,000, Kolej Universiti Tati (RM50,000) dan Shimano (RM120,000) sambil diperhatikan Dato’ Seri Ahmad.

Selain membei fokus kepada kejohanan LTdL, TSG bakal menyertai lebih 22 kejuaran sepanjang 2012 termasuklah Tour de Taiwan (10 Mac), Tour of India (25 Mac), Le Tour de Filipinas (14 April), Tour de Korea (22 April), Tour de Japan (20 Mei) dan Polygon Tour de Jakarta (16 Jun).







Video Majlis Pelancaran Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG)


YPU anjur taklimat pembiayaan francais

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) menganjurkan majlis taklimat Peluang Perniagaan dan Pembiayaan Francais sempena program Francais Komuniti 2012 Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Geleri A, Pusat Dagangan Terengganu pada Sabtu.

Pengurus jaringan Korporat YPU, Encik Zulkifli Yunus berkata, untuk menjayakan program ini YPU bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Katanya, program taklimat bermula 9 pagi itu mempelawa semua usahawan dan bakal usahawan di negeri ini menyertai taklimat yang akan mengupas mengenai peluang perniagaan dan pembiayaan francais dan penyertaan adalah percuma.

Sehubungan itu, pelbagai agensi turut mengadakan pameran bagi membantu para usahawan mendapatkan maklumat terperinci mengenai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.




Belanja RM3.7 juta untuk tuisyen PPAI

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu memperuntukkan RM3.7 juta kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri sepanjang tahun ini bagi melaksanakan kelas tuisyen di setiap sekolah menerusi Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI).

PPD Kuala Terengganu menerima RM1,247,034; PPD Kemaman RM545,196; PPD Besut (RM572,364); PPD Dungun (RM493,524); PPD Hulu Terengganu (RM280,422); PPD Setiu (RM243,984) dan PPD Marang RM357,078.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata setiap PPD menerima peruntukan yang berbeza di mana bergantung kepada jumlah sekolah, kelas serta pelajar yang bakal mengikuti tuisyen di sekolah masing-masing itu.

“Kerajaan negeri menyediakan RM3.7 juta hanya untuk tuisyen dan program ini tidak dilaksanakan di mana-mana negeri selain Terengganu.

“Manakala perbelanjaan tambahan digunakan kerajaan negeri untuk membiayai kertas peperiksaan OT 1, 2 dan 3. Sesetengah negeri meminta ibu bapa mengeluarkan bayaran bagi mencetak soalan peperiksaan ,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (8 Februari).



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi menyediakan komputer riba kepada kira-kira 3,000 guru Tahun Lima di seluruh Terengganu yang melibatkan peruntukan kira-kira RM4.5 juta pada tahun ini.

“PPAI termasuk dalam bajet keseluruhan untuk sektor pendidikan Terengganu sepanjang 2012, kecuali komputer riba yang akan kita agihkan kepada guru Tahun Lima tahun ini di mana ia merupakan peruntukan tambahan di bawah Pejabat menteri Besar,”katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar bagi tujuan pendidikan. Bagaimanapun segelintir pihak yang menyedari perkara itu sengaja memanipulasikannya menerusi sistem pesanan ringkas untuk mempengaruhi orang ramai akibat terdesak terutama ketika musim pilihan raya .









T-Team belum temui awang import

Oleh: Aida Abd Rahman

Misi T-Team untuk mendapatkan khidmat awang import berkualiti dalam masa terdekat ini tidak kesampaian berikutan beberapa pemain yang diuji baru-baru ini gagal memenuhi kriteria dan kehendak pasukan itu.

Pengendali T-Team, Yunus Alif berkata pihaknya baru sahaja selesai menguji empat pemain daripada beberapa negara namun kesemuanya tidak memuaskan dan tidak memenuhi kriteria sebagai pemain profesional.

T-Team memerlukan pemain penyerang bagi menggantikan pemain dari Zambia dan bekas pemain Perlis, Zacharia Simukonda yang disingkirkan kerana prestasi tidak memuaskan.

Yunus berkata menurut ejen, beberapa orang lagi pemain import akan dibawa ke Terengganu Khamis ini untuk diuji.

Yunus berkata sekiranya T-Team tidak menemui pemain import yang diharapkan dalam masa terdekat ini, mereka terpaksa menunggu bulan April apabila pendaftaran pemain import dibuka semua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

T-Team kini mempunyai seorang pemain import daripada Bosnia, Bojan Petric di bahagian pertahanan dalam menghadapi kempen Liga Super musim ini.




08 February 2012

Terengganu bakal bangunkan pusat latihan selenggara pesawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal bekerjasama dengan Pusat Penerbangan Taiko di Xiamen, China bagi membuka pusat latihan dalam bidang penyelenggaraan pesawat di negeri ini, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata kerajaan negeri akan melabur sejumlah wang bagi tujuan membangunkan pusat latihan serta kemudahan sekitarnya yang berkemungkinan dilaksanakan di kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Kita sudah melawat pusat latihan itu (Taiko) dan pihak mereka akan melawat tempat kita bagi melihat kesesuaian tapak.

“Kalau boleh yang paling berhampiran dengan lapangan terbang kerana selepas membaiki kapal terbang boleh pandu uji kapal terbang itu, kalau dibangunkan di kawasan lain agak sukar,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Beliau berkata pelajar yang mengikuti latihan daripada pusat penerbangan yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa itu kelak berpeluang mendapat pekerjaan di mana-mana syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Pelatih dari Taiko boleh bekerja di mana-mana syarikat penerbangan seluruh dunia. Sekarang saya dimaklumkan ada 50 pelajar dari Malaysia yang menuntut di pusat latihan itu,” katanya.

Menteri Besar berkata, selain bidang perubatan, bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan kapal terbang menjadi satu lagi bidang yang boleh diterokai secara intensif oleh pelajar dari negeri ini.







Terengganu hantar pelajar ikuti kursus automotif di Jerman

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memilih Jerman sebagai pengkalan untuk melatih sekumpulan pelajar dari negeri ini bagi mengikuti bidang teknologi automatif bermula tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memilih The Technical University of Berlin, Jerman bagi menempatkan sekumpulan pelajar berikutan kemajuan negara itu dalam industri pemasangan tiga jenama kereta terkenal yang mendominasi pasaran dunia, iaitu BMW, Mercedes dan Audi.



“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti berkenaan dan mereka bersetuju untuk menempatkan pelajar Terengganu mengikuti kursus kejuruteraan automotif berkenaan.

"Bagaimanapun, pelajar berkenaan terlebih dahulu perlu belajar bahasa Jerman,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.



Katanya, kepakaran itu nanti akan membuka peluang yang lebih luas kepada anak Terengganu untuk bekerja di mana-mana firma permotoran di seluruh dunia.

“Kita akan lihat jumlah pelajar yang dihantar kelak berdasarkan keperluan, kesanggupan dan kelayakan mereka untuk mengikuti kursus berkenaan. Manakala kos keseluruhannya nanti akan ditanggung oleh Yayasan Terengganu,” katanya.