Misi T-Team untuk mendapatkan khidmat awang import berkualiti dalam masa terdekat ini tidak kesampaian berikutan beberapa pemain yang diuji baru-baru ini gagal memenuhi kriteria dan kehendak pasukan itu.
Pengendali T-Team, Yunus Alif berkata pihaknya baru sahaja selesai menguji empat pemain daripada beberapa negara namun kesemuanya tidak memuaskan dan tidak memenuhi kriteria sebagai pemain profesional.
T-Team memerlukan pemain penyerang bagi menggantikan pemain dari Zambia dan bekas pemain Perlis, Zacharia Simukonda yang disingkirkan kerana prestasi tidak memuaskan.
Yunus berkata menurut ejen, beberapa orang lagi pemain import akan dibawa ke Terengganu Khamis ini untuk diuji.
Yunus berkata sekiranya T-Team tidak menemui pemain import yang diharapkan dalam masa terdekat ini, mereka terpaksa menunggu bulan April apabila pendaftaran pemain import dibuka semua oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
T-Team kini mempunyai seorang pemain import daripada Bosnia, Bojan Petric di bahagian pertahanan dalam menghadapi kempen Liga Super musim ini.