Gambar oleh Zulkipli Putra.
Kerajaan negeri meluluskan peruntukan serta-merta RM3 juta untuk daerah Marang tahun ini bagi tujuan pembinaan jalan baru dan pembesaran jalan kampung di seluruh daerah itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan tersebut tidak termasuk projek pembesaran parit dan longkang di daerah tersebut yang memerlukan pembinaan segera bagi mengatasi pelbagai masalah seperti banjir kilat.
Beliau berkata, tahun lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM500,000 bagi setiap DUN bagi tujuan yang sama, tetapi pada tahun ini peruntukan itu dinaikkan bagi membolehkan lebih banyak jalan baru atau jalan yang sempit diperbesarkan.
Sementara itu, pada majlis perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Majlis Daerah Marang, Menteri Besar meminta mereka turut ‘turun padang’ bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan seperti bantuan Tabung Penyakit Kronik dan bantuan atap rumah bagi penduduk miskin.
“Tidak ada maknanya jika kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat, tetapi ia tidak dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan kerana tidak ada maklumat.
Menteri Besar yakin jika rakyat mendapat segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, mereka akan menghargai usaha tersebut dan terus mempertahankan kedudukan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah.
