Seramai 470 dari 1,427 penuntut Kolej Universiti TATI (TATIUC) telah menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) untuk sesi penyerahan pertama dan selebihnya akan menerima pada majlis penyerahan seterusnya.
Kerajaan memperkenalkan BB1M untuk membudayakan amalan membaca buku namun apa yang dikesalkan apabila terdapat kes penerima BB1M menjual baucar berkenaan demi memperoleh keuntungan yang singkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dekan dan pensyarah perlu memberi panduan kepada penuntut agar BB1M tidak disia-siakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Dekan dan pensyarah dicadangkan supaya menyediakan senarai buku rujukan yang wajar dibeli penuntut dalam usaha mencegah penuntut menyalahgunakan pemberian BB1M.
Beliau amat bersetuju supaya penuntut yang menyalahgunakan BB1M ini sekiranya ditangkap akan dibuang dari IPT atau universiti. Tindakan tegas ini dibuat untuk menyelamatkan penuntut-penuntut Melayu.
“Sekarang polis yang berpakaian preman berada di kedai-kedai buku untuk mengawasi kes penyalahgunaan BB1M ini,” katanya yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Kolej Universiti TATI (TATIUC) ketika merasmikan Majlis Penyerahan BB1M yang diadakan di Dewan Fakulti Teknologi Elektrik dan Automasi.
Penuntut tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, Khalil Afif Md Zaini, 24, berkata, BB1M itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan untuk projek tahun akhirnya nanti termasuk buku elektronik.
“Saya tidak akan sia-siakan pemberian bantuan seperti ini kerana ia amat bermakna buat penuntut apatah lagi bagi yang kurang berkemampuan dari segi kewangan,” katanya yang berasal dari Kerteh.
Menurut seorang lagi penuntut tahun tiga dalam jurusan yang sama, Mohd Fahmi
Mustaqim Jaafar, 23, pemberian BB1M dapat meringankan beban penuntut untuk membeli buku rujuan kerana jika mahu diharapkan duit pinjaman untuk membeli semua buku rujukan yang diperlukan ia tidak mencukupi.