Halaman

11 February 2012

Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah meriahkan sukan rakyat

Oleh FAUZI MOHD



Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis perasmian penutup permainan sukan rakyat di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu petang semalam.



Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah dan anakanda, Tengku Fatimatuz Zahra.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Khazan Che Mat dan Pegawai Daerah, Wan Nawawi Wan Ismail.

Sempena keberangkatan Sultan Mizan, hampir 3,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit hadir.



Wan Nawawi ketika ditemui pemberita berkata, memeriahkan program penutup sukan rakyat, demontrasi permainan petik mata, tarik upih, parok dan gasing yang menjadi acara tradisi masyarakat terdahulu dipersembahkan.



Menurutnya, sebanyak lapan pasukan yang terdiri daripada 40 pemain setiap kumpulan menyertai pertadingan dua hari membabitkan 14 permainan termasuklah kaki gajah, terompah gergasi, lari dalam guni, boling kelapa serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Acara simbolik yang cukup bermakna sempena sukan rakyat ini apabila penduduk Bukit Wan mempersembahkan buah-buahan dan hasil tanaman yang dikandar dengan ‘lenja’ selain tradisi membawa ‘par’ dengan meletakkan kuih tradisional.



“Kedua-dua tradisi itu dipersembahkan kepada Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah bagi memperingati nostalgia zaman dulu-dulu dimana perkara itu dilakukan apabila Sultan dan Sultanah turun bersama rakyat,” katanya.