Halaman

05 February 2012

216 pelajar miskin terima sumbangan Yayasan Takwa


Oleh Mohammad Ishak

Seramai 216 pelajar miskin dari daerah Besut menerima sumbangan berupa pakaian dan wang tunai sumbangan Yayasan Takwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Itifakiah itu dilakukan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Pelajar terbabit dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan kemiskinan keluarga masing-masing, membabitkan pelajar sekolah menengah dan daerah sekitar daerah ini.

Dalam ucapannya, Dr Abdullah berkata, yayasan itu membelanjakan kira-kira RM6 juta pada tahun ini bagi bantuan sosial di seluruh negara.

“Bagi negeri Terengganu, yayasan ini memilih dua daerah iaitu Besut dan Dungun bagi memberi bantuan kepada pelajar miskin yang cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Bagi daerah Besut saja, peruntukan RM50,000 disediakan oleh yayasan berkenaan bagi tujuan tersebut.