Halaman

06 February 2012

SKSS 1, SKTM dari Terengganu diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua sekolah rendah dari Terengganu masing-masing Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu dan SK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu muncul antara 14 sekolah dari seluruh negara mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), pada 3 Februari lalu.

Lain-lain sekolah melibatkan lima dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Pulau Pinang, serta satu masing-masing Pahang dan Negeri Sembilan yang menjadikan keseluruhan SBT 66 sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas kepada semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan di Auditorium Parcel E, Putrajaya.

Tan Sri Muhyiddin berkata, SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.

"Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi," katanya .

Sekolah lain yang menerima SBT adalah SK(P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu; SK Infant Jesus Convent, Johor Baharu; SK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah; SK Assunta Convent, Kuantan, Pahang; SK Minden Height, Pulau Pinang; SJKC Kwang Hwa, Pulau Pinang; SJKC Keat Hwa (H) Alor Setar, Kedah; SJKC Foon Yew 2 Johor Baharu, Johor; SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; SM Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor; dan SM Sains Johor, Kluang, Johor.

Beliau berkata SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.

Kata beliau program itu juga bermatlamat untuk menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dengan menjadikan SBT sebagai tempat melatih murid cemerlang bertaraf antarabangsa di samping menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.

Tan Sri Muhyiddin berkata, 14 sekolah itu menunjukkan pencapaian yang cukup hebat dengan ada antara pelajarnya menjadi juara dalam pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa, dan mengharumkan nama negara.

Beliau juga berharap agar semua SBT akan terus berusaha untuk melonjak dan melestarikan kecemerlangan modal insan bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam merealisasikan model baru ekonomi, demi mendukung gagasan "1Malaysia; Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan".