Halaman

05 February 2012

HSNZ sambut 30 bayi Maulidur Rasul

Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

30 orang bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ketika umat Islam seluruh negara merayakan sambutan Maulidur Rasul.



Rata-rata ibu bayi terlibat merasa amat bertuah kerana melahirkan anak ketika hari kebesaran umat Islam yang disambut hari ini.



Salah seorang daripada ibu bertuah itu, Suhaini Sapie, 24, dari Kampung Jenang, Marang melahirkan bayi perempuan seberat 2.74 kilogram yang juga anak pertamanya pukul 7.53 malam tadi.

Ibu itu berkata, walaupun suaminya hanya bekerja sebagai pegawai keselamatan, dia berazam akan membesarkan anak sulong itu dengan memberikan pendidikan sebaik mungkin.

Suri rumah itu memberitahu, hanya pendidikan merupakan harta yang bakal ditinggalkan kepada anak-anak mereka.

"Saya mengharapkan keberkatan hari kelahiran anak akan membolehkannya melalui kehidupan yang baik pada masa hadapan," katanya ketika menerima lawatan isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud di wad bersalin HSNZ, hari ini.

Turut serta dalam kunjungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB. Dr. A. Rahman Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Dalam lawatan itu, bayi yang dinamakan sebagai ‘Anak Permata Maulidur Rasul’ itu terdiri daripada 19 lelaki dan 11 perempuan turut menerima hamper yang disampaikan To’ Puan Seri Norliza.

Sementara itu, Dr. A. Rahman ketika ditanya Teganukita memberitahu, melawat ibu-ibu yang melahirkan anak pada Maulidur Rasul di hospital itu bertujuan berkongsi kegembiraan dengan mereka terlibat.

Katanya, Kerajaan Negeri amat menghargai ibu-ibu berkenaan selepas melahirkan anak-anak yang bakal menjadi generasi pelapis masa hadapan.



Video HSNZ Sambut 30 Bayi Maulidur Rasul