Tourism Malaysia dijangka akan menyertai kira-kira 71 pameran pelancongan di luar negara dalam usaha mempromosi negara ini kepada rakyat di negara-negara yang akan dilawati sepanjang tahun ini.
Pengarah Tourism Terengganu , Mohd Nasir Khushairi berkata, penyertaan daripada agensi pelancongan di negeri ini amat dialu-alukan untuk memperkenalkan produk pelancongan tempatan yang dianjurkan oleh pelbagai negara.
Menurut beliau, pameran pelancongan itu membabitkan negara-negara bahagian Amerika, Eropah, Oceania Asia Selatan, Asia Barat, Afrika, Asia Tenggara, Asia Utara dan Asia Timur.
Katanya, dengan penyertaan agensi pelancongan khususnya dari Terengganu memberi peluang kepada pengusaha mempromosi agensi pelancongan mereka dengan menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung dan seterusnya berkunjung ke negeri ini.
Menurutnya, negeri ini mempunyai destinasi pelancongan yang unik dan menarik sebagai percutian terutama di pulau-pulau dengan keindahan semula jadi flora serta fauna.
``Begitu juga keindahan Tasir Kenyir sebagai sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara, malah negeri ini juga turut dikenali sebagai pusat kegiatan sukan lasak seperti 4 x 4,’’ ujarnya.
Sehubungan dengan itu katanya, pengusaha perlu mengambil kesempatan melalui aktiviti tersebut dalam usaha membantu meningkatkan jumlah pelancong melawat ke negari ini sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Katanya, antara pameran pelancongan terdekat yang akan disertai ialah East Mediterranean Tourism & Travel Exhibiton (EMITT) di Istanbul Turki yang dijadualkan pada 9 hingga 12 Februari dan Sales Mission to India Pakistan di Chennnai, Bangalore, Ahmadabad, Mumbai, Delhi dan Nepal pada 13 hingga 23 Februari ini.
Manakala pameran pelancongan Milan Bouesm Internationl Deltatourismo (BIT) di Milan akan diadakan pada 16 hingga 19 Februari dan PTAA Travel Tour Expo di SMX Manila, Filipina pada 1- hingga 21 Februari.
Beliau menambah, pameran lain yang dijangka akan disertai oleh Tourism Malaysia ialah Dhaka Travel Mart di Dhaka Bangladesh ( 15 hingga 17 Februari), Arabian Travel Mart Market di Dubai (29 April hingga 3 Mei), Malaysia Showcase di Nepal, Bangladesh (17 hingga 26 Mei) Sales Mission to the Middle East di Muscat, Jeddah (4 hingga 12 Mei ) dan Malaysia Mini Mart di Colombo (Jun).