Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengingatkan pemain bola sepak negeri Terengganu dan pasukan bertaraf kelab T-Team sekali lagi diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala rasuah dalam bola sepak.
Katanya,berdasarkan pengalaman yang lalu, ada pemain Terengganu terlibat dengan rasuah dan diharap ia tidak berulang lagi.
“Pemain tidak boleh tipu dalam setiap aksi yang dipamerkan, jika persembahan seolah-olah permainan`yo-yo’, mesti ada yang tidak kena.
“Sekiranya ia berlaku terutama dalam perlawanan membabitkan pasukan bawahan atau kurang cemerlang, merekayang berkaitan perlu menyiasat, sama ada pemain terbabit terima rasuah atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita.
Katanya, sejak awal-awal lagi sebelum menandatangani kontrak, pemain kedua-dua pasukan diberi amaran jangan terlibat dengan rasuah.
"Betullah nak untung cepat tetapi ia akan membunuh dan menghancurkan masa depan pemain itu sendiri.
"Kalau ditangkap, pemain itu tidak ada peluang lagi bermain setelah didapati bersalah manakala yang kedua silap-silap mereka dipenjara," katanya.
Baru-baru ini, seorang pemain Skuad Liga Perdana Perlis disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis 7-2 kepada MP Muar pada 9 Januari lalu.
Menteri Besar menasihatkan pemain agar tidak diperalatkan oleh bookie, orang yang berkepentingan dan sebagainya jika sayang masa depan.