Halaman

08 February 2012

Rakyat muak, tidak tertarik tohmahan pembangkang

Oleh FAUZI MOHD

Rakyat sudah semakin muak dan dilihat tidak lagi tertarik dengan pelbagai tohmahan dan kritikan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan mengenai pelbagai program bantuan untuk rakyat.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, rakyat kini yang semakin bijak, menuntut bukti atas tohmahan dan kritikan tersebut yang dilihat gagal diberikan pembangkang sekaligus menyebabkan rakyat semakin menyokong kerajaan.



"Jadi bukti tidak ada, maka Barisan Nasional (BN) yang dapat menampilkan kasih sayang ini dan kasih sayang itu sudah bertempat di hati rakyat dan sukar bagi pembangkang untuk menangkis selepas ini," katanya.

Beliau berkata semikian pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 500 penerima peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Sivik Kijal, Kemamam petang semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Roshali Taha.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kejayaan kerajaan melaksanakan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M dan bantuan RM100 untuk kanak-kanak bersekolah dicemburui pembangkang dan menyebabkan mereka melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan.

Katanya, jika dilihat dari segi rekod pembangkang di seluruh negara, mereka gagal memberi bantuan atau sumbangan seperti dilaksanakan kerajaan.

"Oleh itu, jika hanya retorik yang dibawa pihak pembangkang kami berasa duka cita oleh kerana rakyat seharusnya tidak lagi dipesongkan dengan kata-kata kosong.

"Jadi, kami mencabar sekiranya mereka benar-benar berkeupayaan wujudkanlah kebajikan lain," katanya.