Halaman

06 February 2012

Destinasi menarik di Terengganu jadi pilihan pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata penduduk tidak melepaskan peluang membawa keluarga masing-masing menghabiskan cuti sempena Maulidur Rasul, semalam, (6 Februari) di pelbagai destinasi menarik di Terengganu



Lokasi seperti Taman Tamadun Islam (TTI), Taman Shah Bandar, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Batu Burok menjadi pilihan pengunjung untuk bersiar-siar, berkelah dan menemani anak-anak di taman permainan.

Tinjauan Teganukita di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu mendapati aktiviti menunggang kuda padi, menaiki kereta kuda dan menunggang `ATV motor’ sering menjadi pilihan utama.

Laluan `keluar masuk’ dan kawasan tempat letak kenderaan di pantai itu turut sesak dengan kenderaan milik pengunjung tempatan dan luar Terengganu yang berhajat memenuhi waktu terluang dengan aktiviti berfaedah.

Seorang pengunjung dari Melaka, Mohd Arshad Zaidi, 35, berkata dia dan keluarga seronok datang ke Terengganu kerana pelbagai lokasi menarik dapat dikunjungi termasuk Pantai Batu Burok.

Katanya, Pantai Batu Burok menjadi pilihan setiap kali membawa keluarga bercuti ke Terengganu.
“Kami seronok datang sini kerana bukan saja dapat menemani anak-anak bermain di taman permainan malah dapat mencuba aktiviti lasak dengan menunggang ATV motor.
“Pada masa sama, saya tidak melepaskan peluang menaiki kereta kuda yang dihias cantik oleh pemiliknya,” katanya.

Pengunjung dari Paka, Salmah Zainuddin, 29, berkata dia gembira kerana pantai tersohor di Terengganu kini mendapat sambutan di luar jangkaan sehingga sukar untuk mendapatkan tempat letak kenderaan.

Katanya, sambutan seumpama itu bukan saja menaikkan imej Terengganu malah dapat menambah ekonomi peniaga gerai makanan di sekitarnya.

“Saya mengharapkan Pihak Berkuasa Tempatan terus mengekalkan kebersihan dan keindahan pantai ini supaya ia terus menjadi pilihan pengunjung dan pelancong asing,” katanya.