Hotel Permai menyasarkan perolehan RM8.5 juta bagi tahun ini dengan perkembangan
perniagaan yang semakin menyakinkan.
Pengurus besarnya, Azman Ali berkata, hotel yang dijenamakan semula melalui pengurusan baru sejak 2010 yakin perolehan tertinggi itu dapat dicapai.
"Ia dilakukan dengan memperkukuhkan strategi pemasaran termasuk melalui promosi berkesan di samping terus meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Kita mahu hotel ini sinonim dengan pengenalan Terengganu," katanya pada majlis makan malam tahunan bagi meraikan warga kerjanya baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi Hotel Permai, Tan Sri Wan Abu Bakar Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd. Adib.
Katanya, perolehan hotel dengan 220 bilik itu meningkat daripada RM7.3 juta pada 2010 kepada RM7.7 juta pada tahun 2011 ketika industri pelancongan Terengganu semakin berkembang.
Beliau turut menarik perhatian tentang penglibatan hotel dalam pelbagai kegiatan luar agar dapat bersama-sama kerajaan dalam mengembangkan industri ini dan mendekatkannya dengan masyarakat.
"Ini termasuk dalam kegiatan sukan kapal layar dan berbasikal di samping kami turut merancang menganjurkan pesta sukan pantai," ujarnya.