Halaman

11 February 2012

Tidak tarik balik ‘PAS - parti ajaran sesat’, sedia disaman – MB

Oleh FAUZI MOHD



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said tidak akan menarik balik kenyataannya bahawa PAS merupakan ‘parti ajaran sesat’.

Bertegas dengan kenyataan, PAS tersasar jauh dari perjuangan Islam yang sebenar, beliau sedia menunggu apa jua tindakan daripada parti itu termasuk menggunakan saluran mahkamah.



“Saya sedia disaman, saya ada bukti. Saya tunggu saman PAS. Saya nak tengok dia (PAS) nak bawa ke mahkamah sivil atau mahkamah syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan majlis penutup Kursus Simulasi Pilihanraya Barisan Nasional Terengganu dan Kelantan di Kandis, Bachok, Kelantan, sebentar tadi.

Menurutnya, penyelewengan dan kesesatan yang dibawa PAS terhadap umat Islam bukanlah perkara baru, malah sudah lama diketahui rakyat.

Bukti yang jelas dan nyata kata Dato’ Seri Ahmad, berkenaan ‘Amanat Haji Hadi’ dan Peristiwa Memali yang mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Kedah.

“Selagi Tok Guru mereka (Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) tidak menarik balik amanat itu, selagi itulah PAS berada dalam kesesatan bersama sebahagian pengikutnya yang begitu taksub.

“Kesannya cukup besar hingga ke hari ini seperti Solat Jumaat dua Imam dalam satu kariah, pulau memulau, berkelahi. Inilah yang PAS warisi dalam ‘dakwah’ mereka,” tegasnya.

Kelmarin, PAS memberi tempoh tiga hari kepada Datuk Seri Ahmad supaya menarik balik kenyataannya bahawa parti itu merupakan “parti ajaran sesat”.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik berkata, jika dalam tempoh berkenaan Ahmad tidak menarik balik kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana itu, maka tindakan akan diambil terhadap beliau.