Halaman

07 February 2012

Ibu kampung pendamping masyarakat


Oleh; Esah Abdullah

Peranan isteri pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat penting dalam memastikan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada suami masing-masing dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Timbalan Pengarah 1, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, To’ Puan Hajah Zaimah Abd Aziz berkata, kemahiran insaniah dan komunikasi merupakan asas utama kepada hubungan sosial yang lebih mesra dengan masyarakat setempat.

“Ini sebab, isteri pengerusi JKKK adalah orang kedua yang akan berurusan setiap kali ketiadaan suaminya dan mereka seharusnya bijak menyelesaikan masalah jika ia tidak membabitkan isu besar.

“Selain itu, matlamat YPK memberi kursus asas kepada kumpulan isteri pengerusi dan setiausaha JKKK adalah untuk memastikan peranan mereka diperluaskan dan tiada istilah ‘tidak tahu’ jika penduduk kampung ingin membuat sebarang urusan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena bengkel ‘Ibu Kampung’- Kemahiran Pendampingan Masyarakat kepada isteri JKKK Parlimen Setiu di Sutra Beach Resort, Merang, Setiu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; Penolong Pengarah Bahagian Komuniti YPKT, Puan Zaidah Jusoh dan Pegawai YPK Setiu, Encik Wan Zulfazlee Wan Mustaffa.

Menurutnya, JKKK adalah sebuah institusi yang disegani di peringkat kampung secara tidak langsung kumpulan isteri harus sentiasa bijak menangani sebarang masalah.

“Mereka harus memastikan penduduk yang datang ke rumah adalah klien yang sememangnya mempunyai urusan dan jangan sesekali melemparkan tanggapan negatif sehingga timbul ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang penting kita mahu merealisasikan hasrat kerajaan yang sememangnya menitikberatkan soal mendahulukan hak rakyat dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berharap program yang dirangka khusus oleh pihak YPKT dapat memberi manfaat dalam jangka masa panjang di samping memberi satu input berguna kepada pembangunan di setiap kawasan kampung.

Pada bengkel itu, seramai 130 isteri pengerusi dan setiausaha JKKK dari empat Dun iaitu Batu Rakit, Langkap, Permaisuri dan Jabi hadir untuk berkongsi pengalaman masing-masing bersama fasilitator program iaitu Datuk Dr Wan Halim Othman.