Halaman

10 February 2012

Pengiktirafan, nilai tambah tingkat prestasi pendidikan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi meningkatkan pencapaian dalam pendidikan, pengiktirafan perlu diberikan. Justeru itu kita perlu bergerak seiring dan sejalan bagi memastikan peningkatan jumlah dan kualiti anak Terengganu yang cemerlang, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

“Adalah menjadi kebanggaan kita UPSR sudah 11 tahun berturut-turut muncul negeri terbaik. Barangkali boleh kita fikirkan berbincang dengan pihak Malaysia Books Of Record untuk menyatakan bahawa Terengganu mencipta sejarah sendiri dalam UPSR, “ katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin (8 Februari).



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.

Katanya, setiap kejayaan ittu tidak datang dengan mudah melainkan kerja keras Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Pejabat Pelajaran Daerah, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berserta dengan nilai tambah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Semua negeri mahu mencapai kejayaan cemerlang, tetapi mereka tidak mampu menyaingi Terengganu disebabkan dengan adanya nilai tambah dan pengiktirafan yang kita berikan.

“Dari segi perang psikologinya, anak Terengganu yang cemerlang kita masukkan nama mereka di akhbar sebagai pengiktirafan kepada pelajar, ibu bapa, guru, PIBG sekaligus mewujudkan persaingan sihat dan semua memastikan sekolah masing-masing terpampang di dada akhbar,”katanya.