Pemimpin dan penyokong Pas sanggup mengenepikan hak semua pihak, malah, bertindak menghalang petugas Barisan Nasional (BN) memasang kain rentang di tepi jalan raya sempena lawatan Perdana Menteri ke Parlimen Marang, walaupun mereka menyedari kemudahan awam itu dibina oleh Kerajaan Pusat yang dimanfaatkan semua pihak termasuk pembangkang.
“Malam kelmarin, petugas nak pasang banting (sempena lawatan) Perdana Menteri di kawasan depan (masjid) Rusila, kira-kira 200 orang (penyokong Pas) kepung kita, tak benar pasang. Macamlah jalan itu hak dia. Jalan Kerajaan Pusat buat. Inilah sikap orang-orang Taliban.
“Kalaulah kita pasang di pagar Masjid Rusila.. boleh tahan.Iini hak rakyat hak kerajaan Pusat, mereka boleh kepung kita. Bercakap sebagai pejuang Islam, tetapi amalan dan sikap langsung tidak menggambarkan sebagai Islam,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap dalam Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, baru-baru ini.
Katanya, seluruh rakyat negeri ini, khususnya di Parlimen Marang perlu sedar dan boleh menilai sikap pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan bertoleransi dalam banyak perkara walaupun menyedari bukan mereka yang membangunkan kemudahan kepada rakyat selama ini.
“Dalam majlis kita, program kita, mereka letak bendera (Pas) dekat dengan program kita. Kita tidak kisahpun. Inilah sebenarnya orang-orang Umno berjiwa besar sebenarnya,” katanya.
Beliau kemudiannya mengingatkan seluruh rakyat Marang supaya tidak menoleh ke belakang lagi dan tidak perlu membuat pilihan lain kecuali memilih Barisan Nasional pada PRU ke-13 nanti.
Malah, beliau berkata walaupun sudah sekian lama menjadi Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang gagal menjalankan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat untuk bertemu dan membantu penduduk yang memerlukan pembelaannya.
“Apa yang dia buat? Ada bertemu rakyat dan turun dari kampung ke kampung? Umno lah, Barisan Nasionallah yang turun dari kampung ke kampung . Masa banjir kita jumpa rakyat, rumah runtuh kita jumpa rakyat, rumah rosak kita yang tolong (baiki).
"Malah, tahun ini kita luluskan RM1 juta untuk setiap Dun untuk baiki rumah rakyat Terengganu,” katanya.