Halaman

08 February 2012

Terengganu hantar pelajar ikuti kursus automotif di Jerman

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memilih Jerman sebagai pengkalan untuk melatih sekumpulan pelajar dari negeri ini bagi mengikuti bidang teknologi automatif bermula tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memilih The Technical University of Berlin, Jerman bagi menempatkan sekumpulan pelajar berikutan kemajuan negara itu dalam industri pemasangan tiga jenama kereta terkenal yang mendominasi pasaran dunia, iaitu BMW, Mercedes dan Audi.



“Kita sudah berbincang dengan pihak universiti berkenaan dan mereka bersetuju untuk menempatkan pelajar Terengganu mengikuti kursus kejuruteraan automotif berkenaan.

"Bagaimanapun, pelajar berkenaan terlebih dahulu perlu belajar bahasa Jerman,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Anugerah Apresiasi Kecemerlangan UPSR & PMR 2011 dan Pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu 2012, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Hashim Mohd Zin.



Katanya, kepakaran itu nanti akan membuka peluang yang lebih luas kepada anak Terengganu untuk bekerja di mana-mana firma permotoran di seluruh dunia.

“Kita akan lihat jumlah pelajar yang dihantar kelak berdasarkan keperluan, kesanggupan dan kelayakan mereka untuk mengikuti kursus berkenaan. Manakala kos keseluruhannya nanti akan ditanggung oleh Yayasan Terengganu,” katanya.