Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman
Sambutan luar biasa penduduk tempatan terhadap kunjungan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu minggu lalu, khususnya di kawasan yang dikuasai Pas, merupakan petanda baik kebangkitan BN di negeri ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Perdana Menteri puas hati dengan sambutan rakyat dan program yang diatur sempena Program YAB Perdana Menteri Bersama Penduduk DUN Batu Buruk dan Rhu Rendang.
Sebelum itu, beliau yang diringi ketua-ketua jabatan berkaitan ‘turun padang’ meninjau sistem perparitan dan jalan kampung di empat DUN dalam kawasan Parlimen Marang, yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf untuk keselesaan rakyat.
Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, BN negeri akan memperkemaskan jentera parti dan memperbaiki kelemahan yang ada bagi memantapkan persiapan sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Kita yakin dengan sokongan rakyat dan kini mereka semakin sedar pengorbanan besar kerajaan bagi membantu penduduk dalam semua aspek kehidupan, termasuk mengelakkan kenaikan harga barang yang keterlaluan.
“Rakyat perlu sedar bahawa Kerajaan Pusat mengeluarkan perbelanjaan besar pada setiap tahun bagi memberi pelbagai bantuan, termasuk Bantuan Rakhyat 1 Malaysia,” katanya.
