Halaman

13 February 2012

600 pelajar SMK sertai perkhemahan pandu puteri

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPMCT) akan mengadakan perkhemahan peringkat negeri bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Telaga Batin, Kuala Terengganu.

Ketua Pesuruhjaya PPPMCT, Puan Zaini Mohd Nor berkata, perkhemahan yang berlangsung empat hari bermula 8 hingga 11 Mac depan akan disertai 600 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) seluruh negeri.

“Perkhemahan tahun ini turut membabitkan Tunas Puteri sebagai pendedahan awal kepada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Teganukita.

Katanya, melalui perkhemahan dapat membantu melahirkan sebuah pasukan yang berdisiplin dan mempunyai semangat juang yang tinggi serta memupuk keseimbangan dalam akademik dan kokurikulum.

Selain itu, peserta dapat memupuk semangat jati diri, saling bekerjasama, berdikari serta meningkatkan motivasi ke arah pembentukan sahsiah diri.

“Beberapa aktiviti disediakan seperti ujian lencana kecekapan pandu puteri, ujian sijil pertolongan cemas dan ujian sijil juru masak khusus untuk guru pengiring untuk pengiktirafan sijil kejurulatihan,” katanya.

Katanya,program tahunan PPPMCT ini juga turut menyelitkan aktiviti kerohanian termasuk kuliah, ceramah agama serta motivasi.




Ratu keirin pertama negara raih emas ACC

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelumba sensasi negara yang juga anak Terengganu, Fatehah Mustapa (gambar) mencipta rekod buat negara apabila mengukir sejarah tersendiri selepas berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-32, semalam.

Malah, detik gemilang itu turut menjadikan beliau sebagai pelumba wanita Malaysia yang pertama menggenggam emas di temasya itu.

Malaysia memungut dua emas pada hari terakhir acara trek Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 yang menjadikan pungutan dua pingat emas dan dua perak.
Selain pingat yang terhasil menerusi ratu keirin dari Hulu Terengganu itu, pingat emas turut diraih Josiah Ng. Manakala dua perak pula masing-masing menerusi kayuhan seorang lagi anak jati Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang (elit lelaki) dan Ummi Hamimah Mohamad (remaja perempuan) dalam acara yang sama.

"Saya gembira dapat pingat emas acara ini. Ia satu kenangan yang tidak mudah untuk saya lupakan. Hari ini, saya betul-betul puas hati. Selalunya hanya pingat perak atau gangsa. Sudah dua tahun saya tidak dapat pingat dalam acara keirin.

"Masa undian tadi (undian kedudukan permulaan sebelum memulakan perlumbaan) saya di belakang pelumba Hong Kong dan saya memang hendak berada belakang dia sebab dia mempunyai kayuhan yang paling laju. Pada selekoh terakhir, baru saya terus memecut," kata Fatehah lagi.

Selain meraih pingat emas, Fatehah turut meraih satu perak melalui acara pecut (sprint) dan satu gangsa dalam acara 500m ujian masa.

Pingat perak acara itu dimenangi Xu Yulei dari China dan Lee Wai Sze dari Hong Kong mendapat pingat gangsa.

Selepas menamatkan saingan dalam acara trek, Malaysia setakat ini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, manakala Hong Kong mendahului dengan 5-3-4 dan China dengan 4-2-2.

Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia akan diteruskan dengan acara perlumbaan lebuh raya yang akan bermula Selasa ini.



MB kesal masalah lampu limpah tidak berkesudahan

Oleh: Aida Abd Rahman

Masalah lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) yang tidak berkesudahan dan gagal mencapai piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menimbulkan reaksi kecewa Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan masalah itu, FAM dan Persatuan Bola Sepak negeri Terengganu (PBSNT) perlu berbincang dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya isu itu tidak berpanjangan serta menjejaskan kerancakan liga bola sepak.

"Perkara ini kita perlu buat pemeriksaan terperinci mengenai keperluan sebenar lampu
limpah itu. Ini saya tidak faham, sekali kata boleh, sekali kata tidak boleh, yang mana satu boleh pakai. Dulu kata kata perlu capai 800 lux, kita dah laksanakan, tapi macam mana boleh turun semula menjadi 500 lux.

"Apa masalah sebenarnya, kalau mentol lampu rosak, ganti mentol sajalah, apa yang susah sangat," katanya mengulas mengenai masalah lampu limpah yang sekali lagi berlaku di stadium itu.

Beliau mengulas demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), semalam (12 Februari).

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.

Masalah itu menyebabkan perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Kedah pada Selasa mungkin dilangsungkan pada sebelah petang.




MB tidak berganjak- Pas `parti ajaran sesat’

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said tetap tidak mahu berganjak dengan kenyataan beliau yang mengatakan Pas sebagai `parti ajaran sesat’.

Beliau juga bersedia untuk disaman oleh pembangkang berhubung kenyataan itu dan mempersoalkan pula di mahkamah mana Pas bakal membawa kes berkenaan, sama ada mahkamah sivil atau syariah.

“Ikut pandai dialah, kita tunggulah. Tarik balik buat apa? Dia nak saman mahkamah syariah ke mahkamah sivil, ikut pandailah.

“Kalau nak saman, samanlah. Kita tunggulah..Payah apa. Apa yang dia tidak kata, Umno kafirlah dan dia kata ke kita (BN dan Umno) macam-macam.Kita tidak pernah saman pun..Ini soal politik, kita buat cara politik kita tunggulah. Dia nak saman mahkamah mana? Syariah atau sivil? Kalau mahkamah sivil rasanya payah perbicaraan ini..kena keluar dalil al-Quran semua sekali,” katanya sebagai mengulas pendirian beliau mengenai desakan Pas supaya beliau menarik semula kenyataanya selepas melabelkan Pas sebagai `parti ajaran sesat’.

Menteri Besar mengulas demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), semalam (12 Februari).

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.

Minggu lalu, Pas memberi tempoh tiga hari kepada Dato’ Seri Haji Ahmad agar menarik balik kenyataan mengenai perkara itu.

Menteri Besar juga bersedia dengan hujah serta bukti sekiranya isu itu di bawa ke mahkamah kelak.








Video MB tidak berganjak






PTN diminta utamakan kualiti kerja

Oleh: Suriati Ali

Pegawai Tadbir Negeri (PTN) di Terengganu di minta menerapkan mentaliti gemar mengutamakan kualiti dan bukannya bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugasan yang dipertanggungjawab.

Yang Dipertua Persatuan Persatuan Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Mohamad Kamil Othman. berkata masyarakat memerlukan pegawai yang mempunyai daya fikir tinggi, kemahiran menganalisis situasi, cekap mengatur strategi, bersikap kreatif, memiliki akhlak mulia dan etika terpuji.

Katanya, setiap PTN perlu membuat suatu anjakan berganda bagi menambah nilai pengetahuan, inovasi dan daya saing sekiranya serius ingin menangani cabaran baru.

“Lonjakan pembangunan kapasiti modal insan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata, namun begitu saya yakin usaha-usaha dapat dipergiatkan lagi supaya setiap PTN mudah memahami, menghayati dan menyusun strategi.

“Jika sebelum ini PTN bertindak sebagai pentadbir, kini perlu bertindak sebagai pengurus, pakar, profesional dan teknokrat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) Bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kira 200 PTN dari seluruh Terengganu hadir memeriahkan majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said .

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, dalam usaha untuk memberi nilai kepada modal insan yang hendak dibangunkan, mereka mesti menerapkan nilai-nilai terpuji dan membudayakan amalan murni dalam diri dan organisasi.

“Kita sebagai pegawai berintergriti, berbudi bahasa dan gemar berkongsi idea sewajarnnya menghindarkan sikap negatif dalam diri.

“Modal insan berintergriti dan warga PTN yang mempunyai minda kelas pertama sangat diperlukan untuk memberi perkhidmatan terbaik dan dan berkesan kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, apabila seseorang itu memilih untuk berkhidmat sebagai PTN, hakikatnya mereka memilih untuk berkhidmat untuk masyarakat dengan telus dan ikhlas dan bukannya kerana wang ringgit.

“Apabila kita berpegang kepada prinsip bekerja sebagai satu ibadah, nescaya ganjaran dan keberkatan hidup akan disusuli kemudian,” katanya


Kawasan pengeluaran agro-makanan di setiap mukim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan mewujudkan kawasan mini pengeluaran agro-makanan untuk sayur-sayuran dan tanaman ladang di setiap mukim dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha'ari Idris, berkata ia bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan seperti yang termaktub dalam dasar makanan negara.

"Kita harap satu mukim satu kawasan pengeluaran agro-makanan ini akan dapat dilaksanakan dengan segera," katanya.

Beliau berkata penghulu-penghulu mukim telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk projek itu di mukim masing-masing.
“Bagi mewujudkan mini pengeluaran agro-makanan ini memerlukan kawasan seluas antara empat hingga 30 hektar di setiap mukim dan ia akan diusahakan oleh petani sendiri.
“Kemudahan itu akan menjadi satu tempat pengeluaran hasil pertanian secara kekal untuk kegunaan petani-petani,” katanya.

Katanya, agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan lain-lain akan dapat memberi tumpuan kepada infrastruktur dan sebagainya selain khidmat nasihat berterusan.

“Projek itu akan diwujudkan berhampiran kampung bagi memudahkan petani membawa hasil tanaman mereka ke situ.

“Ladang pengeluaran makanan yang besar dan diusahakan oleh pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat besar,” katanya.

Katanya mini pengeluaran agro-makanan itu juga bertujuan mendidik usahawasan-usahawan kecil supaya bertambah maju dan berjaya.






Hulu Terengganu terima ‘durian runtuh’

Menteri Besar disambut pemimpin JKKK daerah Hulu Terengganu sebaik tiba di Dewan Majlis Daerah. - Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

Oleh: Mastura Jamaluddin

Daerah Hulu Terengganu menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM6.7 juta bagi meluruskan dan melebarkan alur Sungai Pertang, bertujuan mengatasi masalah banjir.

Peruntukan tersebut diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, petang semalam pada majlis perjumpaan dengan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah.

Beliau berkata, Hulu Terengganu merupakan salah sebuah JKKK terbaik di negeri Terengganu dan jenteranya perlu diperkukuhkan di peringkat akar umbi, bagi melicinkan pentadbiran negeri.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Tengku Putera bin Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri,Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, YB Mohd Zawawi Ismail; ADUN Ajil Dato’ Haji Rosol Wahid; Ahli Parlimen Hulu Terengganu Haji Mohd Nor Othman, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.

Selain daripada itu,Menteri Besar turut mengumumkan kelulusan dewan serbaguna yang memuatkan 3000 orang bersebelahan Hospital Hulu Terengganu.

Beliau menyatakan kerja-kerja menambun tanah boleh dilakukan bagi mempercepatkan pembinaannya.

Sebuah Kompleks Sukan Daerah Hulu Terengganu juga telah diluluskan dan segala urusan berkaitan dengannya di serahkan kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu.


hulu terengganu terima"durian runtuh"







PAS MEMANG AJARAN SESAT- Bahagian Pertama:

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Mengapa tiba-tiba Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik melenting bila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menyatakan Pas parti ajaran sesat.

Mengapa tidak sesatnya:

“Menentang Pas adalah haram mengikut al-Quran”- ini kata-kata Mursyidul Am sendiri dalam satu kenyataan akhbar pda 24 April 1994.

Tidak berniat untuk mengulas panjang, tetapi bila menentang Pas itu haram bermakna berdosa.

Sesuailah pula dengan kenyataan bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Noor dalam akhbar milik parti itu, Harakah pada 3 Oktober 1997 bahawa: “Umat Islam wajib sertai Pas”.

Sekali lagi penulis tidak berniat hendak mengupas kenyataan ini, tetapi apabila wajib maka berdosalah orang Islam tidak menyertai Pas atau menyertai parti lain, jadi bagaimana pula umat Islam di negara lain yang tidak ada Pas?

Bahkan orang yang hendak mengambil tindakan undang-undang kepada Menteri Besar Terengganu itu sendiri pernah menyatakan “Pas Parti Allah”. Tidakkah sesat itu?

Presiden Pas sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengkafirkan orang-orang Umno melalui ucapannya di Banggol Peradong pada 7 April 1981. Antara lain menurut Haji Hadi orang Umno menjadi kafir kerana telah menyokong perlembagaan negara (mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir, peraturan jahiliyyah” yang bukan merupakan perlembagaan Islam.

Ucapan iti tidak ditarik balik hingga sekarang. Kesan dari ucapan itulah menyebabkan pengikut Pas dari Kedah, Ustaz Ibrahim Libya didakwa oleh Haji Hadi ‘mati syahid” dan ditanam tanpa dikafankan.

Fatwa mati syahid melawan puak-puak Umno yang dikafirkan itu tidakkah ajaran sesat?
Peliknya dalam buku jingga , Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia, yang turut ditandatangani bersama oleh Haji Hadi, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, muka surat 23 Dasar Bersama Mereka ialah MEMPERTAHANKAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.

Perlembagaan yang difatwakan tidak Islam itu dan menjadi kafir orang Umno kerana mendokong perlembagaan itu serta mati syahid kalau mati menentang orang-orang Umno yang mengekalkan perlembagaan itu, TETAPI KINI HAJI HADI SENDIRI MAHU PERTAHANKAN???

Dan banyak lagilah fakta-fakta kesesatan Pas akan penulis bongkarkan.

12 February 2012

Kompleks sukan mini untuk penduduk Hulu Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk Hulu Terengganu bakal menerima sebuah kompleks sukan mini bernilai RM1.5 juta yang akan dibangunkan di kawasan berkeluasan 10 hektar di Kampung Paya Besar, Kuala Berang, tidak lama lagi.

Sehingga kini, kerajaan negeri akan mengeluarkan tender bagi memastikan kerja-kerja tanah dilaksanakan segera sebelum tender bangunan dikeluarkan dalam tempoh setahun kemudian.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas kerja meratakan tapak dan memastikan tapak selamat dalam tempoh masa setahun , pihaknya akan mengeluarkan tender bagi mendirikan bangunan kompleks sukan mini itu.

“Kalau tidak selamat dan berlaku penurunan tanah, berlaku bangunan retak pula. Kita sudah ada peruntukan RM1.5 juta dan boleh lakukan kerja tanah dengan segera.

“Saya minta supaya cari reka bentuk stadium yang baru, sebagaimana Kemaman dan Besut reka bentuknya yang asal dan sudah ketinggalan zaman serta tidak sesuai lagi dengan masa kini,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), hari ini.



Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.

Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Haji Talaha Ali.




Peruntukan RM6.7 j bina tebatan banjir di Sungai Pertang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan kira-kira RM6.7 juta untuk membina tebatan banjir bagi mendalam dan melebarkan Sungai Pertang, Hulu Terengganu yang bertujuan mengelak masalah banjir di pekan Kuala Berang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selain projek di Sungai Pertang yang melibatkan kawasan sepanjang 11 kilometer, dua kolam takungan juga dibangunkan di kawasan itu termasuk satu daripadanya dibina pada tahun lalu bagi tujuan yang sama.

“Pada tahun lalu, kita sudah beri satu pembinanan kolam takungan dan selepas ini satu lagi kolam takungan dibuat sebaik sahaja kerja melebar dan mendalam Sungai Pertang RM6.7 juta ini disiapkan.



“Saya minta Jabatan Pengairan dan Saliran Hulu Terengganu supaya dapat mengeluarkan tender segera yang boleh bagi mempercepatkan kerja tersebut,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Ke Kawasan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang Haji Zawawi Ismail.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua MDHT, Haji Talaha Ali.

Dalam pada itu, lawatan kerja Menteri Besar ke Hulu Terengganu adalah yang ketiga selepas di Kemaman dan Marang.

Sebagaimana daerah lain, Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM750,000 bagi kerja-kerja melebar, menaik taraf dan membaiki semula jalan bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hulu Terengganu yang keseluruhannya melibatkan RM3 juta.



Selain itu, beliau turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan, MDHT dan JPS memperincikan setiap permintaan penduduk untuk membina longkang dan perparitan bagi membolehkan pihaknya menjalankan kajian semula dari aspek saiz dan kos sebelum kelulusan dibuat dari masa ke semasa.