Halaman

03 March 2012

Sultan Mizan terkilan golongan muda tidak sedia jadi imam, bilal

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terkilan dengan sesetengah golongan muda di negeri ini yang belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai imam atau bilal di masjid-masjid.

Titah baginda, senario itu berlaku disebabkan ramai kalangan remaja yang kurang berminat ke masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah.

Justeru, baginda berharap tindakan segera dapat dilakukan bagi menggalakkan golongan tersebut sentiasa mengunjungi masjid serta mengimarahkan institusi ibadat itu.

Pada masa yang sama, Sultan Mizan menyeru kepada pihak berkuasa agama selain jawatankuasa-jawatankuasa masjid agar memperbanyakkan program keagamaan di institusi ibadat itu untuk menarik minat golongan tersebut.

"Hari ini, golongan muda tidak bersedia menjadi imam atau bilal apabila kurangnya mereka ke masjid-masjid.

"Tugas imam atau bilal sangat mulia kerana masjid adalah rumah Allah yang paling suci," titah Sultan Mizan ketika merasmikan Masjid Kampung Kuala Pueh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Sri Temenggung, Dato' Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud serta Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat.

Baginda selanjutnya bertitah, program keagamaan seperti ceramah agama, tahlil, bacaan al-Quran dan sebagainya perlu dihidupkan di masjid untuk sama-sama mengimarahkannya.

"Harapan beta untuk melihat rakyat Terengganu khususnya umat Islam memakmurkan masjid di sepanjang waktu.

"Marilah abadikan diri kepada Allah dengan mengimarahkan masjid serta mendekatkan diri dengan masjid. Pada ketika umur panjang, masa lapang selain sihat tubuh badan, jangan kita sia-siakan," titah baginda.

Dalam pada itu, Masjid Kampung Kuala Pueh yang mula dibina pada September 2008 dan siap untuk digunakan pada Mac 2009 menelan kos RM1.9 juta dan ia boleh menampung 750 jemaah.










500 anggota kadet Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sertai perkhemahan


Muhammad Pehimi mencuba alat pemadam kebakaran


Oleh: Mohammad Ishak


Seramai 500 anggota kadet Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari sekolah menengah daerah Besut menyertai perkhemahan tiga hari yang berlangsung di Pantai Bukit Keluang, Besut semalam.

Perkhemahan itu bertujuan melengkapkan kemahiran pelajar khususnya anggota agensi itu dalam selok belok membantu pelbagai bentuk bencana dan cara menyelamatnya.

Pegawai JPAM Besut,Leftenan Muda PA Mohamad Suhaimi Awang @ Muhamad berkata, ia perkhemahan pertama dianjurkan oleh JPAM dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof merasmikan perkhemahan itu dan melakukan gimit cara-cara memadam kebakaran.

Berucap pada majlis itu Muhamad Pehimi berharap anggota kadet pasukan JPAM dapat meningkatkan kemahiran menyelamat dalam member bantuan kepada mangsa yang ditimpa bencana.

Katanya, pengalaman ketika mengikuti perkhemahan amat berguna untuk dijadikan asas ketika membantu operasi menyelamat mangsa.

“Ilmu yang diperolehi oleh pelajar dalam pelbagai badan beruniform sememangnya amat baik dan boleh diteruskan selepas tamat belajar,” katanya.



Jalan ditutup sempena LTDL

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai, khususnya penduduk di sekitar bandaraya ini diminta untuk merancang perjalanan berikutan penutupan beberapa laluan di bandar ini sempena Le Tour De Langkawi (LTDL) Stage 10, esok (4 Mac).

Ketua Jabatan Kenteteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, laluan dalam bandar akan mula ditutup pada jam dua petang kerana waktu berkenaan pelumba dijangka tiba di Bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, pelumba akan melalui laluan Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu dan buat enam pusingan penamat di kawasan bandar.

“Antara jalan yang akan terlibat ialah Jalan Zainal Abidin (Dataran Shahbandar) – Pasar Payang ke Jalan Banggol. Mereka juga akan melalui Jalan Sultan Ismail – Jalan Batas Baru dan Jalan Sultan Omar,” katanya.

Selain itu, Jalan Sultan Ismail (Bulatan Batu Bersurat) - Jalan Sultan Mahmud ke Lampu Isyarat MB. Pelumba seterusnya akan melalui Jalan Pantai Batu Buruk – Jalan Persinggahan ke Primula Hotel dan akan membuat enam pusingan di Jalan Sultan Zainal Abidin ke Dataran Shahbandar.

Oleh itu katanya, orang ramai diminta merancang perjalanan sebaiknya memandangkan jalan dalam bandar akan ditutup sepenuhnya selama 1 jam 45 minit kerana perlumbaan dijangka selesai jam 3.45 petang.




Taman Panorama siap akhir lalu

Oleh: Suriati Ali

Taman Panorama yang tersergam indah di Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan bakal beroperasi dalam tempoh terdekat.

Pembangunan fasa pertama taman itu membabitkan peruntukan RM7.5 juta menerusi Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang, berkata taman yang bakal menaikkan imej Terengganu itu dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana moden, termasuk kawasan rekreasi, laluan pejalan kaki, pondok rehat dan menara tinjau.

Sebuah restoran yang mampu memuatkan 200 pengunjung pada satu masa dikenali sebagai panorama kafe turut dibina semata-mata mahu menarik minat pelancong tempatan dan luar negara bertandang ke taman itu.

“Setiap pengunjung pasti teruja kerana hampir keseluruhan kawasan Bandar Raya Kuala Terengganu dapat di lihat melalui menara tinjau di taman itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, pembukaan Taman Panorama itu nanti diharap dapat menyelesaikan kemelut yang melanda penduduk sekitar berkaitan limpahan air selut dan hakisan tanah sepanjang projek itu berjalan.

“Pihak kami berharap taman ini akan dibuka secepat mungkin namun kerja-kerja sampingan sedang giat dijalankan bagi memastikan tiada sebarang masalah berbangkit apabila beroperasi kelak.

“Saya yakin kawasa itu bakal menjadi kawasan tumpuan baru bagi penduduk negeri ini dan pelancong selain daripada lokasi menarik lain seperti Taman Tamadun Islam, Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok,” katanya.




BR1M Terengganu RM87 juta

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih RM87 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk diagihkan kepada hampir 175,000 orang yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di seluruh negeri Terengganu.

Sehingga ini, kira-kira 80 peratus daripada penerima bantuan RM500 setiap orang, sudah menerima bantuan masing-masing manakala selebihnya akan mendapat habuan mereka tidak lama lagi.

Sebahagian daripada penerima BR1M, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Batu Buruk, menerima bantuan itu ketika lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ke Terengganu, baru-baru ini.

Manakala sebahagian lagi penerima akan mendapat habuan masing-masing ketika kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ke Terengganu pada 1 Mac depan.

Bagi negeri Terengganu, pengagihan BR1M yang bertujuan meringankan beban penduduk negara ini yang berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah itu dibahagikan kepada empat kumpulan.

Semua penduduk di negeri ini yang layak, diberi bantuan itu tanpa mengira fahaman politik bagi memastikan mereka menikmati pemberian kerajaan secara adil dan saksama.
Kumpulan pertama yang berjumlah 75,485 orang, melibatkan bayaran sejumlah RM37,742,500 sudah pun menerima wang masing-masing dalam beberapa majlis yang diadakan secara berasingan di seluruh negeri.

Manakala kumpulan kedua yang melibatkan 42,377 orang penerima (RM21,188,500) juga sudah menerima bantuan tersebut, baru-baru ini.

Pada masa ini pembayaran sedang dilakukan bagi kumpulan ketiga melibatkan 6,729 orang penerima (RM3,364,500) dan proses pembayarannya dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Bagi kumpulan keempat yang melibatkan lebih 6,000 orang penerima di seluruh negeri Terengganu, proses pembayaran akan dilakukan tidak lama lagi dan dijangka berakhir pertengahan Mac depan.

Bantuan tersebut disediakan khusus Kerajaan Pusat yang prihatin dengan nasib rakyat, khusus bagi membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, terutama yang mempunyai tanggungan besar.




Harrif tunai janji aksi lebih baik tuju bumi Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh menceriakan penyokong tempatan apabila muncul tempat kedua peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Pekan ke Chukai, semalam.

Lebih manis hampir 10,000 rakyat negeri Terengganu menanti untuk menyambutnya di garisan penamat dengan mengharapkan pelumba kesayangan mereka itu berjaya muncul juara pada perlumbaan sejauh 100.8 kilometer itu.

Bagaimanapun, mereka tetap gembira apabila melihat pelumba berusia 24 tahun itu berjaya meloloskan diri daripada 119 pelumba untuk meraih tempat kedua di belakang pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang lebih dahulu mencecah garisan penamat.

Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, tempat kedua sudah cukup bermakna dan kejayaan besar pernah diraihnya selepas memenangi tempat ketiga di peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar dan edisi tahun lepas di Pulau Langkawi.

Harrif mencatat masa dua jam 13 minit 27 saat dalam perlumbaan yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Apa yang penting adalah menewaskan pelumba Eropah agar mereka tahu pelumba kita juga boleh memberi saingan.

"Saya mahu buktikan bahawa pelumba negara boleh lakukan tetapi kejayaan mungkin tidak akan muncul tanpa bantuan rakan pasukan terutama abang saya (Mohd Zamri Salleh)", katanya.

Harrif memulakan asakan dalam peloton besar untuk berada di belakang Guardini yang cukup dikenali dengan kepantasannya tetapi tidak mampu menyekat pelumba Itali itu yang melakukan henjutan cukup bertenaga pada 200 meter terakhir.

Pelumbaan sejauh 165.7km, hari ini akan bermula di Kemasik menuju ke Kuala Terengganu pastinya cukup bermakna buat Harrif apabila penamat perlumbaan peringkat kesembilan ini berdekatan dengan kampung halamannya, Ladang Titian.


02 March 2012

LTdL Stage8 PEKAN-CHUKAI

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah

LTdL Stage7 BENTONG-KUANTAN

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah

LTdL Stage6 PROTON SHAH ALAM-GENTING HIGHLAND

OLEH: Mohd Yahya dan Harish Fadzillah

Tiada HIV?AIDS dikalangan bayi lahir menjelang 2015


Dr A Rahman melepaskan peserta konvoi dari Jertih ke Kangar,Perlis


Oleh: Mohammad Ishak


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan meneruskan Program Terapi Gantian dengan Methadone sebagai usaha mengurangkan kemudaratan dikalangan penagih yang disebabkan penggunaan dadah suntikan dari jenis dadah heroin dan morfin di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata sejak dilaksanakan program tersebut telah banyak membantu dengan seramai 1287 penagih telah mendaftar mengikutinya dan dari jumlah itu 867 daripadanya begitu aktif.

“ Sehingga sekarang kita masih menanggapkan rawatan melalui program tersebut relevan kerana bukan sahaja kosnya amat rendah malah mendapat sambutan penagih untuk mengikuti program rawatannya tanpa masalah”, katanya kepada media selepas melepaskan peserta Kembara Sihat Tanpa Aids 2012 membabitkan 200 peserta dengan 70 kenderaan dari Terengganu Ke Perlis di Jertih Souq disini hari ini.

Dr A Rahman berkata, melalui program itu penagih dadah jenis suntikan yang selama ini tersisih daripada masyarakat , kini mula kembali semula ke dalam masayarakat dan diberi pendidikan kesihatan dan pemulihan untuk berfungsi semula kepada komuniti.

Katanya, sehingga Disemnber tahun lalu sudah terdapat 14 buah pusat terapi berkenaan di negeri ini yang mana 6 daripadanya beroperasi di hospital, 7 buah di klinik kesihatan dan 1 lagi di penjara.

Beliau berkata, jangkitan HIV/AIDS pertama di Terengganu telah dikesan pada tahun 1988 dan sehingga Disember lalu sebanyak 8833 kes HIV telah difaftarkan di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga amat serius dalam mengurangkan bilangan kes HIV dengan turut mensasarkan sifar peratus bagi kes bilangan bayi baru lahir yang menghidapi HIV/AIDS menjelang 2015.

A Rahman memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri telah berjaya mencatatkan sifar peratus pada tahun 2010 tetapi mencatatkan 2 kes pula pada tahun 2011.

Turut hadir dalam pelepasan program itu ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman dan pegawai-pegawai kanan kesihatan dari seluruh negeri.