Halaman

10 April 2012

Kerajaan tanggung subsidi tinggi demi rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Tahukah anda… Gas (silinder 14kg) – Harga sebenar RM47.56;
subsidi kerajaan RM20.96

Harga yang perlu ANDA BAYAR hanya berjumlah RM26.60 bagi setong gas 14kg.

Gas silinder atau LPG adalah antara barangan komoditi yang menjadi polemik dan isu perbahasan di kalangan semua pihak, khususnya kumpulan penentang kerajaan tanpa mereka membuka mata untuk menilai fakta sebenar asas kepada penentuan harga sesuatu produk mahu pun perkhidmatan.

Walhal, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menerajui pemerintahan negara ini, memberi subsidi paling tinggi dengan menawarkan harga paling rendah bagi setiap kilogram gas silinder iaitu RM1.90 sahaja berbanding RM2.55 (Indonesia), RM6.42 (Singapura), RM2.99 (Thailand) dan RM5.11 di Filipina.

Subsidi adalah wang yang dibayar oleh kerajaan kepada pengeluar atau penjual sesuatu produk supaya harga runcit produk tersebut rendah berbanding kos sebenar atau harga pasaran.

Kaedah itu merupakan bantuan untuk meringankan beban kepada pengguna,sekaligus bagi menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi.

Berdasarkan sumber Kementerian Kewangan Malaysia, tanggungan subsidi kerajaan kian bertambah dari tahun ke tahun di mana RM10.32 bilion pada 2010, diikuti RM22.48 bilion pada 2011 dan tahun ini meningkat kepada RM22.52 bilion..

Selain gas silinder, senarai 11 barang kawalan berjadual yang lain termasuk minyak masak, diesel, simen, gula, baja, minyak tanah, ayam, bar bulat keluli lembut, tepung gandum, roti (semua jenis) dan petrol (gasoline motor untuk semua gred).

Pengguna juga mungkin tidak mengetahui bahawa harga tepung gandum jika tanpa subsidi RM1.90 (harga terkini RM1.35), harga beras ST15 sebelum subsidi RM24, berbanding harga semasa RM18, gula sebelum subsidi RM2.50 berbanding selepas subsidi RM2.30 dan minyak masak 1kg kini berharga RM4.75 selepas subsidi RM2.25!

Selain itu, rakyat juga perlu sedar kerajaan menanggung sepenuhnya pembelian buku teks dan segalanya diberi secara percuma atau disubsidikan demi kepentingan serta manfaat rakyat tanpa mengira pelajar di kalangan anak penyokong kerajaan mahu pun pembangkang.

Terbaru, Klinik 1Malaysia yang hanya mengenakan caj RM1 bagi rawatan biasa,selain RM5 bagi rawatan pakar berbanding harga berganda dan lebih tinggi jika mendapat perkhidmatan perubatan di klinik swasta.

Bukan sahaja di Malaysia, isu subsidi berlaku di setiap pelusuk dunia sama ada negara kaya seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah atau negara miskin seperti Mesir.

Di Mesir tercetus rusuhan apabila subsidi roti dikurangkan, manakala di Eropah petani merusuh dengan membinasakan hasil keluaran akibat pengurangan subsidi bahan makanan.

Oleh yang demikian, jika tidak bersandarkan subsidi yang disediakan Kerajaan BN dan Umno, seperti baja dan harga padi, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar dan hasil padi atau beras negara pastinya merudum.

Mengikut sifir ekonomi, kita harus saling bekerjasama di mana mereka yang membeli beras membayar harga yang tinggi sedikit dan harga tambahan itu dipindahkan kepada penanam padi sebagai subsidi.

Seorang pengguna yang menerima RM1 subsidi akan membelanjakan duit itu kepada pekedai.. Pekedai sudah pasti membuat keuntungan kerana barang yang dijual dengan kadar harga RM1 itu diperolehnya dengan harga lebih rendah daripada pembekal.

Sementara pembekal pula membeli lebih rendah dari pengilang. Setiap kali duit RM1 itu bertukar tangan, ia menambah kepada nilai ekonomi.

Perlu diingat bahawa harga subsidi ini kerana peranan rakyat yang memilih kerajaan yang prihatin,bertimbang rasa dan rasional dalam memastikan rakyat tidak mendapat kesan daripada kenaikan ekonomi global.







Pembangkang tabur janji kosong

Oleh: Kamarudin Mat Akib

PEMBANGKANG HANYA MAMPU TABUR JANJI KOSONG...Itu hakikat sebenar yang berlaku jika Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerintah negara ini.

Rakyat tidak wajar mempercayai janji manis pembangkang kononnya mereka akan menghapuskan kutipan tol dan bayaran balik pinjaman pelajar yang dibuat melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) serta gaji minimum RM4,000 sebulan.

Cuba bayangkan, jika benar pembangkang diberipeluang memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM200 bilion setahun bagi merealisasikan janji tersebut saja.

Perbelanjaan itu tidak termasuk peruntukan pengurusan, pembinaan projek-projek pembangunan dan sosial bagi kesejahteraan rakyat seluruh negara seperti yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang ini.

Jika Kerajaan Pusat menghapuskan kutipan tol, ia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM100 bilion setahun manakala perbelanjaan untuk PTPTN berjumlah RM43 bilion.

Perbelanjaan untuk gaji minimum RM4,000 sebulan seperti yang dijanjikan oleh pembangkang pula menelan belanja RM60 bilion setahun.

Bayangkan dari punca mana ‘kerajaan angan-angan’ pembangkang mahu mengumpul dana bagi membiayai peruntukan demi bagi membolehkan mereka menunaikan janji-janji manis tersebut.

Hakikatnya, Malaysia akan muflis dalam tempoh dua tahun jika pakatan pembangkang memerintah negara ini dan menunaikan tiga perkara yang dijanjikan itu bagi memancing undi penduduk tempatan pada PRU 13.

Selama ini, Kerajaan BN mentadbir urus negara dengan berhemah dan mereka memberi subsidi dan bantuan kepada rakyat mengikut keupayan semasa kewangan negara.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan persekolahan RM100 bagi setiap pelajar sekolah rendah dan menengah serta Baucer Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi semasa membentang Bajet 2012.

Bantuan tersebut disediakan bagi meringankan beban rakyat dan ia dilakukan kerana Kerajaan Pusat mampu berbuat demikian.

Selepas pembentangan bajet tersebut, bantuan yang dijanjikan terus diberi kepada rakyat secara adil dan telus, tanpa mengira fahaman politik.

Begitu murni perjuangan BN, di mana mereka yang menyokong Pas dan parti pembangkang turut menerima bantuan berkenaan, walaupun ramai daripada penerimanya pernah memaki hamun pemimpin Pusat dan negeri.

Bagaimanapun, disebabkan dengki dan iri hati dengan kejayaan BN memerintah negara ini sejak 55 tahun yang lalu, pemimpin parti pembangkang yang sememangnya berhati busuk dan gilakan kuasa, mula menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala kepada rakyat bagi mengaburi mata mereka.

Pemimpin pembangkang mula membuat janji kosong bagi meraih undi dengan satu niat saja iaitu mahu menjatuhkan Kerajaan BN.
Itulah sebenarnya yang berlaku dan rakyat perlu faham keadaan ini. Mereka tidak perlu terpedaya dengan janji pembangkang, sebaliknya terus memberi sokongan mereka kepada BN pada PRU 13.


TM perkenal Unifi di Teluk Kalong

Oleh; Esah Abdullah

Telekom Malaysia (TM) akan memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (Unifi) di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman pada penghujung tahun ini.

Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Badrul Hisham Bahari berkata, Teluk Kalong merupakan kawasan kedua diperkenalkan dengan perkhidmatan tersebut selepas Lembah Klang.

Menurut beliau, Teluk Kalong merupakan kawasan perindustrian yang berkembang maju dilihat wajar mendapatkan kemudahan perkhimdatan internet berkelajuan tinggi untuk bersaing dengan industri lain di dalam dan luar negara.

Katanya, perkhidmatan tersebut selain mempunyai kelajuan internet yang tinggi ia boleh menyambungkan secara terus kepada televisyen yang membolehkan pengguna memperolehi pelbagai maklumat dengan lebih berkualiti.

``Unifi yang menggunakan fiber optik itu mampu memenuhi kehendak pemain industri bagi bersaing dengan industri lain sejajar dengan perkembangan dunia masa kini’’ katanya.

Beliau berkata demikain selepas majlis penyerahan zakat perniagaan TM kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di pejabat Maidam di sini, petang semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Menurut beliau, melalui kemudahan itu juga memberi peluang kepada kira-kira 480 buah rumah di sekitar kawasan berkenaan menikmatinya apabila mereka melanggan dengan TM.

Tambahnya, pada masa ini kira-kira 25 peratus pengguna di negeri ini menjadi pelanggan kepada kemudahan internet TM dan angka itu dijangka meningkat kepada 30 peratus pada akhir tahun ini.

“TM sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang berkelajuan tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan di samping bersaing dengan pengendalian internet lain dan pada masa ini pengguna di Terengganu mendapatkan perkhidmatan internet dengan kelajuran 4mbps .,” katanya.




Sembilan pelajar angkuh, langgar perjanjian YT - Permata

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) menyokong tindakan Yayasan Terengganu (YT) membatalkan tajaan biasiswa kepada sembilan pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang menyertai perhimpunan Bersih pada Julai tahun lalu.



Jurucakapnya, Mohd. Nafis Mohd. Noor berkata, tindakan tegas itu wajar bagi membuka mata pihak yang tidak bertanggungjawab secara terang memperalatkan golongan pelajar untuk kepentingan agenda politik tertentu.

Menurutnya, pembatalan itu bukan sesuatu yang zalim dan terburu-buru, malah tujuh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam serta dua Ijazah Sarjana Muda Perubatan berkenaan telah diberi ruang serta peluang untuk membela diri melalui surat tunjuk sebab kepada YT.

“Kami difahamkan, mereka mengaku terlibat dengan perhimpunan itu melalui surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Yayasan Terengganu. Bukan itu sahaja, mereka dengan angkuh mengatakan itu (sertai perhimpunan Bersih) adalah hak mereka.

“Perbuatan mereka menyertai bantahan, perhimpunan yang berunsur hasutan secara tidak langsung telah melanggar isi kandungan Perjanjian Pinjaman Yayasan Terengganu yang mereka sendiri faham dan tanda tangani,” katanya kepada pemberita di Bangunan YT hari ini.

Tambah Mohd. Nafis, Permata menyarankan agar pihak yang mencetuskan perhimpunan Bersih termasuk pemimpin parti politik bertanggungjawab terhadap nasib sembilan pelajar terbabit kerana kumpulan itu yang begitu bersungguh libatkan pelajar dalam agenda mereka.

Bagi sesetengah pemimpin parti politik katanya, mereka lebih akan mengambil peluang untuk menjadi ‘jaguh kampung’ dengan mengeksplotasi perkara ini dengan menuduh Kerajaan sebagai zalim dan tidak profesional.

“Permata dengan penuh rasa kesal membidas sikap tamak pihak terbabit yang terlalu memikirkan keuntungan politik hingga membawa pelajar ke kancah yang tidak sepatutnya seperti terlibat dalam rusuhan dan demontrasi haram,” katanya.

Dalam pada itu kata Mohd. Nafis, Permata mengecam tindakan Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (Gempur) yang bersikap biadap dengan menghantar memorandum berbentuk ugutan untuk melakukan perhimpunan dengan skala lebih besar jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

“Permata merasakan, tindakan itu sesuatu yang serius. Yayasan Terengganu sebenarnya boleh membuat laporan polis kerana terdapat unsur-unsur ugutan terhadap agensi kerajaan itu,” ujarnya yang juga Presiden Permata Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah YT, Mohd. Razali Mahmud memberi amaran keras kepada pelajar yang menerima tajaan dan biasiswa yayasan itu agar tidak terlibat dengan apa jua perhimpunan haram termasuk Bersih 3.0 yang diwar-warkan akan diadakan di ibu negara hujung bulan ini.

“Jika didapati terlibat, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama kerana kita mahu mereka fokus kepada aktiviti pembelajaran dan tidak terpengaruh dengan anasir negatif.

“Kita bukan agensi yang kejam seperti yang didakwa. Setiap tahun Yayasan Terengganu membelanjakan lebih RM106 juta untuk memberi pinjaman dan biasiswa kepada anak Terengganu melanjutkan pengajian,” jelas beliau.

Tahun ini katanya, YT memperuntukkan kira-kira RM21.5 juta untuk menaja lebih 3,000 pelajar termasuk 545 penuntut di 12 buah negara termasuk Jepun, Perancis, United Kingdom, Jordan dan Indonesia dalam pelbagai disiplin pengajian.

“Di Mesir, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam menerima pinjaman berjumlah RM24,000 seorang dan RM300,000 untuk pelajar perubatan,” katanya.


Hapus yuran Tadika Pasti sebelum mansuh pinjaman YT dan PTPTN-MB

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mencabar barisan kepimpinan Pas supaya terlebih dahulu memansuhkan yuran mana-mana sekolah milik parti itu, termasuk tadika Pasti sebelum berangan menghapuskan pinjaman Yayasan Terengganu.

“Terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan,” katanya.

Katanya, janji pembangkang untuk menghapuskan pinjaman YT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah lebih bersifat `khayalan’ dan palsu semata-mata.

“Kalau serius hendak menghapuskan pinjaman itu, mereka sepatutnya terlebih dahulu menghapuskan Tadika Pasti yang mengenakan yuran bulanan antara RM50 hingga RM150 bagi setiap kanak-kanak.

“Jika belajar di Tadika Pasti pun dikenakan yuran mahal, bagaimana hendak laksanakan pendidikan percuma kepada setiap pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berjumlah ratus ribu itu pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, dia malu dan sedih dengan kenyataan itu yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin.

“Kita bukan hendak berbangga, belajar di tadika milik kerajaan iaitu Tadika Kemas hanya perlu membayar RM10 saja sebulan, kadar ini yang berkuatkuasa lebih 20 tahun masih kekal ke hingga ini.

“Pelbagai manfaat diterima kanak-kanak, termasuk diberi makanan berkhasiat, belajar Iqra dan pelbagai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia diguna pakai di tadika kemas,” katanya


Kepakaran ilmu dalam agensi perlu disatukan untuk kejayaan


Hamzah bersalaman dengan anggota JPAM


Oleh: Mohammad Ishak

Setiap ilmu yang dimiliki oleh setiap anggota dalam agensi penguatkuasaan, pertahanan dan keselamatan perlu disatukan untuk membentuk keamanan dalam masyarakat.

Timbalan ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata,adalah merupakan satu kerugian sekiranya sumber kepakaran manusia tidak berjaya disatukan dan membiarkan setiap pihak berkerja secara sendirian .

“ Untuk itu polis akan berganding bahu dengan masyarakat dan bekerjasama dengan agensi keselamatan untuk memastikan hasil yang lebih baik diperolehi dimasa depan dan disamping itu dapat menjimat perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran sumber tenaga “, katanya ketika berucap merasmikan Program “ Team Building” Kementerian Dalam Negeri membabitkan polis, Anggota Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awan Malaysia (JPAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dewan Perumahan PDRM di Kampung Raja hari ini.

Menurutnya, dalam kursus yang diadakan serentak di seluruh negeri selama 7 hari bermula hari ini, seramai 420 daripada 700 anggota pertahanan dan keselamatan hadir bagi mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Ibu pejabat Polis Daerah di tempat masing-masing.

Katanya, dari jumlah itu 100 di daerah Marang, 82 di Kuala Terengganu, 67 Hulu Terengganu, 55 Setiu, 41 Besut, 38 Dungun dan hanya 11 orang di Kemaman yang menyertainya.

Beliau berharap kursus yang akan berterusan untuk selama enam hari lagi itu akan disertai sepenuhnya oleh agansi-agensi yang terbabit dengan sasaran seramai 4,900 orang semuanya telah mengikutinya apabila tamat nanti.

Katanya, data-data menunjukkan dengan usaha kerjasama yang diadakan secara bersepadu di kalangan agensi-agensi penguatkuasa yang diterajui oleh polis kadar jenayah didapati telah menurun dari tahun ke setahun di negeri Terengganu.



Pameran batik, kebudayaan tambah seri BOTR

Oleh: Aida Abd Rahman

Pameran batik, persembahan kebudayaan dan artis terkenal akan menyerikan lagi ekspedisi memancing sambil bersantai Boat On The Road (BOTR) yang akan diadakan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bermula 20 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pameran batik oleh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertemakan Tasik Kenyir itu adalah program nilai tambah yang diselitkan dalam penganjuran BOTR 2012.

Beliau berkata, lebih menarik penganjuran hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Media Prima Bhd turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dijangka menarik kehadiran lebih 1,500 penduduk setempat dan pengunjung luar.
Majlis itu diserikan persembahan kebudayaan yang memaparkan budaya penduduk setempat.


“Pameran batik itu nanti akan menggambarkan transformasi Tasik Kenyir yang kini dibangunkan kerajaan negeri dengan Island Hopping yang merangkumi 10 pulau antaranya Santuari Kelah, Taman Herba, Taman Tema Air, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Tropika, sekali gus menyediakan kepelbagaian tarikan pelancongan.

“Penganjuran BOTR adalah yang terbesar setakat ini termasuk dengan pelbagai aktiviti sampingan untuk penduduk setempat,” katanya selepas penyerahan tajaan dan mesyuarat penyelarasan BOTR 2012, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Encik Mukhtar Che Ali; Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Abdul Hadi Mamat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Kaki pancing yang berminat menyertai BOTR yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM75,300 boleh mendapatkan borang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times 11, 13, 15 dan 17 April serta dalam sisipan Joran Berita Harian pada setiap Jumaat.

Pelbagai hadiah lumayan ditawarkan, dengan juara kategori casting berkumpulan akan menerima RM15,000 serta hadiah iringan, manakala juara individu memancing dalam rumah bot menerima RM8,000 serta hadiah iringan, selain hadiah bonus RM20,000 sekiranya pemancing dapat menaikkan ikan arapaima gigas di tasik itu.

Penyertaan ekspedisi ini terbuka kepada orang ramai yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan bot, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua hingga empat pemancing.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam sisipan Joran akan datang, atau hubungi Unit Joran Berita Harian, Osman di 016-6359023; 019-3141642 (Hazrul) dan 019-3143664 (Zulhilmi).




Penuntut IPT tidak harus jadi kuda politik

Oleh; Esah Abdullah

Penuntut yang berada di Pusat Pengajian Tinggi tidak harus menjadi ‘kuda’ politik kepada individu yang berada di luar kampus kerana jelas mereka mempunyai agenda tersirat.

Fenomena kebelakangan ini, ramai golongan politikal telah mempengaruhi penuntut melalui isu tertentu semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

Pemimpin pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Encik Mohd Ridzuan Mustafa berkata, perkara berkenaan semakin serius dan perlu ditangani segera agar ia tidak menjejaskan tumpuan pelajar.

“Mahasiswa harus menjadi suara yang memperbaiki dan bukannya merosakkan kesejahtera dalam sesebuah masyarakat dan negara ,” katanya dalam Forum Pentas Mahasiswa ‘Isu-Isu Semasa’ di Bukit Wan, Batu Rakit semalam.

Katanya, mahasiswa tidak harus terikut dengan suara dari luar yang ingin ambil kesempatan menggunakan golongan pelajar mendesak kerajaan berkait sesuatu isu seperti kes Adam Adli baru-baru ini.

“Isu penghapusan pinjaman PTPTN yang dibangkitkan pihak tertentu juga hanya merugikan mahasiswa sendiri terutama golongan Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

“Saya meminta rakan pelajar membuat timbangtara terhadap isu yang dibangkitkan terutama yang berkait dengan pelbagai tuntutan yang keterlaluan,” kata Fatimah Adilah.

Katanya, sebagai seorang terpelajar, gunakan kewarasan berfikir serta jangan mudah terpengaruh dengan suara-suara berbaur politik.

Penuntut tahun tiga UKM, Mohd Afik Amar juga melahirkan rasa malu terhadap tindakan segelintir rakan siswa yang sanggup dipergunakan pihak tertentu, menentang kerajaan yang membiayai pengajian mereka.

“Sikap itu amat ‘biadap’ kerana sanggup mengigit tangan yang menyuap nasi ke mulut kita dan tindakan sedemikian tidak ubah seperti kacang lupakan kulit,” katanya.

Forum anjuran Kelab Remaja Islam Terengganu (Krim) itu dibarisi ahli panel terdiri pemimpin pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Fatimah Adilah Abdul Ghani dan Mohd Afik Amar Tulus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pengerusi Krim, Encik Nohd Hanif Abdullah bertindak selaku modirator.




Penuntut UMT wakili negara ke program pengajian UK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua pelajar Malaysia termasuk seorang dari Universiti Malaysia Terengganu, Nurhidayah Mukhtar, 23, terpilih untuk mengikuti program pengajian musim panas antarabangsa Aston University di United Kingdom (UK) yang dijadualkan pada Julai.

Selain Nurhidayah, Mohamad Asri Abdul Jani, 24, dari Universiti Malaya yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan bahas tempatan turut terpilih mengikuti program itu.
Mereka dijangka akan menjalani program selama tiga minggu menerusi tajaan Persatuan Alumni Malaysia Universiti Aston.

Dua pelajar berkenaan yang terkejut terpilih mengikuti program yang mampu memberi pengalaman baru dan memperluas pandangan itu menerima replika cek berjumlah RM20,000 dari Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bagi pihak persatuan itu, di Kuala Lumpur, semalam.




Penyu julang Piala Emas Khir Johari

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu yang menggunakan strategi bertahan dan menyimpan tekong terlebih dulu, berjaya menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, Ahad lalu.

Kejayaan skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin membenam juara bertahan, Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir melayakkan skuad Penyu meraih RM5,000 pada kejohanan berpasukan tertua di dunia itu, sekali gus menghampakan hajat lawan mencipta rekod penyandang terbanyak, 12 kali.

Biarpun diheret ke set penentuan oleh Selangor yang dibarisi ramai pemain elit dan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Terengganu tidak mudah goyah, malah mampu mengekang asakan lawan bagi memenangi kedua-dua regu, (15-10, 11-15, 15-9) dan (15-6, 10-15, 15-12) dalam tempoh 160 minit.

Mata kemenangan bermakna Terengganu hasil paduan trio Mohd Syazwan Husin, Mohd Hami Khairi Roslan dan Mohd Safarudin A Bakar yang membenam regu Ahmad Sufi Mohamed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam.

Manakala kemenangan kedua disumbangkan oleh Mohd Faiz Jalal, Mohd Fadzly Roslan dan Zulhafizazwan Roslan yang mengecewakan benteng Selangor yang dibarisi Noor Azman Abdul Hamid, Arif Ramli dan Mohd Putra Abd Ghani.