Halaman

10 April 2012

Pameran batik, kebudayaan tambah seri BOTR

Oleh: Aida Abd Rahman

Pameran batik, persembahan kebudayaan dan artis terkenal akan menyerikan lagi ekspedisi memancing sambil bersantai Boat On The Road (BOTR) yang akan diadakan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bermula 20 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata pameran batik oleh penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertemakan Tasik Kenyir itu adalah program nilai tambah yang diselitkan dalam penganjuran BOTR 2012.

Beliau berkata, lebih menarik penganjuran hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Media Prima Bhd turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang dijangka menarik kehadiran lebih 1,500 penduduk setempat dan pengunjung luar.
Majlis itu diserikan persembahan kebudayaan yang memaparkan budaya penduduk setempat.


“Pameran batik itu nanti akan menggambarkan transformasi Tasik Kenyir yang kini dibangunkan kerajaan negeri dengan Island Hopping yang merangkumi 10 pulau antaranya Santuari Kelah, Taman Herba, Taman Tema Air, Taman Orkid, Taman Burung dan Taman Tropika, sekali gus menyediakan kepelbagaian tarikan pelancongan.

“Penganjuran BOTR adalah yang terbesar setakat ini termasuk dengan pelbagai aktiviti sampingan untuk penduduk setempat,” katanya selepas penyerahan tajaan dan mesyuarat penyelarasan BOTR 2012, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengurus Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Encik Mukhtar Che Ali; Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Encik Abdul Hadi Mamat dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong.

Kaki pancing yang berminat menyertai BOTR yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM75,300 boleh mendapatkan borang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times 11, 13, 15 dan 17 April serta dalam sisipan Joran Berita Harian pada setiap Jumaat.

Pelbagai hadiah lumayan ditawarkan, dengan juara kategori casting berkumpulan akan menerima RM15,000 serta hadiah iringan, manakala juara individu memancing dalam rumah bot menerima RM8,000 serta hadiah iringan, selain hadiah bonus RM20,000 sekiranya pemancing dapat menaikkan ikan arapaima gigas di tasik itu.

Penyertaan ekspedisi ini terbuka kepada orang ramai yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan bot, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua hingga empat pemancing.

Maklumat lanjut boleh didapati dalam sisipan Joran akan datang, atau hubungi Unit Joran Berita Harian, Osman di 016-6359023; 019-3141642 (Hazrul) dan 019-3143664 (Zulhilmi).