Halaman

09 April 2012

Belanja RM20 ribu dari poket sendiri untuk orang Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha yang dilakukan berpaksikan kepada keikhlasan bagi membantu penduduk yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan secara percuma .

Tidak ramai mengetahui hakikat sebenar kemudahan perubatan percuma yang disediakan Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam, di Kampung Pulau Bahagia, sejak tiga tahun lalu itu mampu dimanfaatkan lebih 20,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang menelan perbelanjaan kira-kira RM20,000 sebulan.

Tanpa mengira latar belakang pesakit dan fahaman politik mana sekalipun mereka tetap diberikan layanan sama rata oleh lebih 10 petugas dan pakar perubatan, malah dibekalkan ubat-ubatan yang mengikut prosedur perubatan sebenar.

Kos yang agak besar itu dikeluarkan dari `poket’ Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Encik Yusof Awang Hitam sendiri untuk menyediakan perkhidmatan setiap dua kali sebulan yang lazimnya pada pertengahan dan hujung bulan.

“Lazimnya lebih 10 pakar perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kuantan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian termasuk dua daripadanya pembantu farmasi dari HUSM ditugaskan khas untuk mengendali klinik yang beroperasi jam 9 pagi hingga 5 petang, dua kali sebulan itu.

“Setiap kali dibuka, kami mampu memberi perkhidmatan kepada 400 pesakit. Malah, kalau pesakit tidak mampu datang sendiri ke klinik, kami bawakan pula doktor ke rumah mereka bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya.Kita juga menyediakan perkhidmatan berkhatan percuma setahun sekali, iaitu pada cuti persekolahan hujung tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Rentetan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengadakan lawatan sehari ke Terengganu dan melawat DUN itu pada 30 April lalu, meluluskan pula pembinaan Rumah Penginapan 1Malaysia berhampiran klinik dengan kos RM150,000.

“Rumah yang cukup selesa dan luas memiliki tiga bilik dan dua bilik air dapat menempatkan semua petugas klinik setiap kali mereka ke sini. Insya-Allah bermula bulan depan mereka akan dapat menginap di rumah ini sekaligus mampu menjimatkan bajet menyewa hotel,” katanya.

Menurut Encik Yusof lagi, usaha secara sukarela itu tercetus selepas perkenalan beliau dengan seorang doktor pakar yang merawat isterinya di HUSM yang mencadangkan supaya mewujudkan klinik yang menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada penduduk yang tidak berkemampuan di Manir.

“Di bawah persatuan yang dinaungi doktor pakar berkenaan dan komitmen padu antara kami bagi membantu dan menjaga kebajikan penduduk Manir, akhirnya hasrat kami berhasil dan memberi manfaat kepada ramai yang memerlukan,” katanya.