Halaman

14 April 2012

Imtiaz Besut jalin kerjasama universiti Jordan, Mesir

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Terengganu (YT) sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan program pendidikan secara usahasama dengan beberapa universiti luar negara di Kompleks Imtiaz Besut.

Pengarahnya, Zakaria Yusof ketika memberitahu perkembangan tersebut berkata, antara negara luar yang terbabit adalah Jordan dan Mesir.

Beliau menjelaskan, pada masa sama, kompleks yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu mampu menempatkan 1,000 pelajar elit apabila siap dibina menjelang 2014.

"Ini bermakna, kompleks ini bukan sahaja untuk penempatan kira-kira 1,000 pelajar elit, malah, kita akan melaksanakan program pendidikan dengan universiti di Jordan dan Mesir.

"Jadi, kita minta orang ramai supaya bersabar dan mengikis persepsi negatif kononnya kompleks ini akan jadi 'gajah putih'. Sebenarnya kita sedang dalam proses perancangan untuk memastikan kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya baru-baru ini.

Beliau mengulas keluhan 'Anaknya Hafiz' dalam ruangan forum Utusan Malaysia yang khuatir kompleks berkenaan bakal menjadi projek 'gajah putih' apabila gagal dimanfaatkan oleh para pelajar secara keseluruhannya.

Zakaria seterusnya menyatakan keyakinannya bahawa program pendidikan dengan universiti luar negara itu turut memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian di kompleks tersebut sebagai persediaan sebelum ke universiti kelak.

Menurutnya, pihaknya kini memberi tumpuan menyiapkan pagar untuk keselamatan kompleks berkenaan daripada sebarang pencerobohan.

Buat sementara waktu, kesemua 500 pelajar Kompleks Imtiaz Besut terpaksa ditempatkan di bangunan baru di Kampung Pelagat, Besut.