Halaman

14 April 2012

Keahlian Srikandi hanya untuk isteri pertama

Oleh FAUZI MOHD

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) menegaskan keahlian pertubuhan itu hanya untuk isteri pertama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini.



Pengerusinya, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, syarat keahlian itu telah ditetapkan dalam peraturan Srikandi dan ia selaras dengan amalan Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) serta badan kebajikan itu di negeri-negeri lain.

Menurutnya, penegasan itu penting berikutan masih terdapat di kalangan wakil rakyat atau bekas wakil rakyat yang turut mempersoalkan perkara itu.

“Tidak ada masalah untuk wakil rakyat atau bekas wakil rakyat beristeri lebih dari seorang, tetapi keahlian Srikandi terhad untuk isteri pertama kerana banyak program kita (Srikandi) turut melibatkan suami masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga isteri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan Srikandi kali ke-25 di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.

Tambah To’ Puan Seri Norliza, peraturan itu tidak bermakna Srikandi tidak mengiktiraf peranan isteri kedua atau ketiga seseorang wakil rakyat, kerana mereka mempunyai banyak peluang lain dalam membantu suami berkhidmat kepada masyarakat.



Mesyuarat yang dirasmikan Menteri Besar itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrasturktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib dan Ketua UMNO Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Dato’ Seri Ahmad dalam ucapannya memberi peringatan kepada isteri wakil-wakil rakyat di negeri ini supaya tidak menunjukkan kemewahan ketika bersama masyarakat.

Beliau berkata, peringatan tersebut diberikan bagi mengelak perilaku mereka itu mencalarkan imej suami mereka di mata rakyat sehingga menyebabkan masyarakat tidak lagi menyokong wakil rakyat itu dan parti yang diwakilinya.

Sebaliknya, kata beliau, isteri seharusnya bertindak sebagai pembantu dan menegur perbuatan suami mereka jika tindak-tanduk wakil rakyat itu mungkin menjejaskan kredibilitinya.



“Isteri-isteri wakil rakyat diingatkan supaya tidak membebani suami mereka dengan menonjolkan kemewahan walaupun mampu memilikinya tetapi mereka sebaliknya perlu menunjukkan sifat sederhana dan membantu suami mereka,” katanya.

Srikandi kini mempunyai 63 keahlian terdiri daripada isteri kepada individu yang sedang dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara.



Sementara itu, Srikandi turut menyumbangkan RM40,000 kepada 40 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun ini bagi keperluan kanak-kanak dan remaja yang dilatih di pusat itu.