Halaman

14 April 2012

Golongan muda diminta bantu jentera parti

Oleh: Suriati Ali

Golongan muda termasuk kepimpinan puteri diminta bersama-sama perkemas barisan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) negeri untuk mengekalkan kemenangan serta merampas kembali kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu semangat ahli-ahli itu bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya, sebaliknya terus mendokong semangat kerjasama bersama sayap lain termasuk Pemuda dan Wanita.

“Kerajaan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan sebarang usaha menganggu hak keistimewaan kaum Bumiputera mesti dipertahankan,” katanya.

Katanya, pergerakan Puteri yang mewakili pengundi muda perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada orang muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini.

“Kita yakin hasil kerjasama semua sayap dalam parti, kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mendapat sokongan penuh seluruh rakyat yang cintakan keamaman,” katanya.

YB Razif turut memberitahu, penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal untuk pilihanraya umum ke 13.

“Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

“Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa,” katanya.