Kerajaan Terengganu tetap dengan pendirian menarik balik pinjaman terhadap sembilan penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Mesir kerana melanggar perjanjian dengan menyertai perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bertegas dengan keputusan itu walaupun terdapat desakan dan memorandum dihantar segelintir pihak yang menuntut supaya menyambung semula pinjaman itu.
“Dalam facebook Pas kata,.Syed Azman (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok-Pas) kata minta mahasiswa bangkit kerana `Menteri Besar pengkhianat’ dan sebagainya. Sekarang siapa yang mengkhianat? Kerajaan negeri sediakan macam-macam kemudahan dan peluang kepada pelajar.
“Yang mengkhianat Pas kerana mempengaruhi pelajar supaya menyertai demonstrasi Bersih. Mereka kena tanggung risikolah sebab kita hantar mereka untuk belajar bukannya menyertai demonstrasi,” katanya semasa diminta mengulas mengenai ada desakan supaya menyambung semula pinjaman terhadap sembilan penuntut di Mesir itu.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menteri Besar berkata, penuntut negeri ini yang gagal memanfaatkan kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan kepada mereka dengan melakukan sesuatu yang jelas melanggar undang-undang akan berdepan dengan hukuman dan tindakan tegas.
“Ramai lagi pelajar yang hendak pergi ke luar negara. Tahun ini lebih 100 orang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan kita akan biayai. Selain itu, kita juga hantar pelajar yang mahu mengambil jurusan kejuruteraan automatif di Jerman dan menghantar 10 pelajar pengambilan pertama dalam kejuruteraan kapal terbang 147 yang diiktiraf seluruh dunia.
“Tiada masalah bagi kita untuk membiayai pelajar ke luar negara. Jangan kerana kes ini (tarik balik pinjaman) dikatakan saya sebagai pengknianat dan tunjuk macam-macam gambar..saya peluk anak singa `binatang disusukan oleh Menteri Besar, pinjaman rakyat dipotong’..kenyataan itu tidak betul,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Terengganu bersedia mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada anak Terengganu yang berjaya selain membiayai mereka yang mahu melanjutkan pelajaran, bagaimanapun kerajaan tidak akan memberi ruang kepada pelajar yang jelas mengkhianat (melanggar undang-undang).
Dalam laporan sebelum ini, Yayasan Terengganu (YT) tetap bertegas dengan tindakan menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.
Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya menerima memorandum tersebut yang dihantar 16 wakil Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur), tetapi YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.
Katanya, jika tiada tindakan tegas, mungkin lebih ramai lagi pelajar lain akan turut melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.