Halaman

12 April 2012

500 kedai runcit berubah wajah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan 500 lagi kedai runcit lama di seluruh negara akan berubah wajah tahun ini di bawah progam Tukar yang dilaksanakan kementerian tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga Mac lepas hampir 200 kedai runcit telah bertukar wajah di bawah program Tukar dan pada tahun lepas sebanyak 519 kedai lama menyertai program itu di mana ia melebihi sasaran asal iaitu 500 buah.

"KPDNKK memperuntukkan RM50 juta bagi program itu tahun ini, iaitu sebanyak RM40 juta bagi perbelanjaan mengubahsuai kedai dan membekal peralatan perabot termasuk almari, rak dan lain-lain manakala RM10 juta untuk modal pusingan.

"Pada tahun lepas kita membelanjakan RM40 juta bagi melaksanakan program Tukar ini di mana kerajaan komited membantu para peniaga runcit supaya maju dan berdaya saing dengan peniaga lain," katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kedai-kedai lama yang bertukar wajah di bawah program itu ternyata menguntungkan di mana kebanyakan kedai terbabit mencatat peningkatan jualan sehingga melebihi 200 peratus.

Menurutnya, peniaga yang terlibat juga dinilai setiap enam bulan sekali dan akan dihantar mengikuti kursus perniagaan singkat yang dikendalikan konsultan terdiri daripada Syarikat Tesco, Mydin, Giant dan syarikat antarabangsa lain.

Beliau berkata, peniaga yang mendapat pinjaman program Tukar itu hanya dikenakan bayaran balik dalam tempoh 15 tahun dengan kadar faedah tiga peratus.