Halaman

08 April 2012

Jangan percaya janji khayalan Pas-MB

Oleh: Suriati Ali

Rakyat negeri ini diminta menolak usaha pihak tidak bertanggungjawab khususnya pimpinan Pas yang cuba memperbodohkan pemikiran rakyat dengan janji yang bersifat ‘khayalan’.



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, janji-janji pembangkang untuk menghapuskan pinjaman Yayasan Terengganu (YT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan pemberian air percuma dan menghapuskan cukai pintu, adalah khayalan dan palsu semata-mata.

Katanya, apa yang dihebahkan itu sama ada melalui blog atau ceramah hanya mainan politik yang bertujuan meraih undi, mereka akan lakukan apa saja untuk tujuan itu walaupun mengetahui ia tidak dapat dilaksanakan .

“Saya mencabar barisan kepimpinan Pas supaya terlebih dahulu memansuhkan yuran mana-mana sekolah milik parti itu, termasuk tadika Pasti sebelum berangan menghapuskan pinjaman YT.

“Terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin dan Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Seramai 841 murid daripada lapan buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir bersama ibu atau bapa untuk menerima e-Book secara percuma yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Mereka adalah murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 seramai 229; SK Sultan Sulaiman 11 (163); SK Tengku Bariah (102); SK Pasir Panjang (95); SK Bukit Besar (77); SK Gong Kapas (65); SK Ladang (62) dan SK Bukit Bayas pula seramai 48 orang.

Katanya, rakyat negeri ini disaran tidak mensia-siakan undi dalam memilih kerajaan yang lebih berwibawa demi memastikan pembangunan asas di negeri ini dapat diperbaiki.

“Perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat,” katanya.