Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang menemui rakyat di segenap tempat termasuk mengadakan majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri bagi menyampaikan sendiri maklumat yang sahih berkaitan dasar, rancangan dan pelaksanaan kerajaan negeri selama ini.
“Saya tidak menolak ada di kalangan penjawat awam sendiri yang begitu mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, tohmahan, tuduhan dan terpaksa menemui mereka bagi menceritakan dasar, rancangan dan pelaksanaan melalui `first hand information’ daripada saya sendiri,” katanya.
Menteri Besar berkata, sebagai `front liner’ kepada pentadbiran kerajaan, penjawat awam perlu memahami dan mengetahui tindakan yang sepatutnya serta mengelak daripada sekadar mengandaikan dan menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai.
“Kita beritahu kepada rakyat apa yang sedang berlaku dan kerana itulah kita menayangkan video (merujuk video Runtuhnya Sebuah Empayar) bukan suatu hiburan, tetapi sebagai renungan bersama apakah nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya.
Selain itu, beliau juga tidak menafikan ada di kalangan penjawat awam yang bertindak dengan memberikan komen dan respon yang keterlaluan terhadap program yang dijalankan kerajaan negeri.
“Saya memerhatikan lenggang-lengguk penjawat awam, sama ada mereka menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan betul dan berdasarkan jawatan masing-masing atau pun menjadi `gunting dalam lipatan’ serta `api dalam sekam’,” katanya.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri berdepan cabaran bagi `membangunkan minda’ masyarakat yang hanyut dan memberi gambaran sebenar apa yang sudah dilaksanakan kerajaan selama ini.
“Cabaran kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai apa yang kerajaan laksanakan. Ada pihak lain mengambil kesempatan untuk menidakkan kebenaran itu, menceritakan sebaliknya, memfitnah, membuat tohmahan dan menceritakan yang bukan-bukan, menyebabkan orang ramai terkeliru,” katanya.