Halaman

13 April 2012

Pinjaman RM19 juta kepada 18 koperasi seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM19,159,620 kepada 18 koperasi seluruh Terengganu pada tahun ini sebagai Pinjaman Tabung Modal Pusingan dengan Koperasi Keluarga Dato’ Hashim Mamat Kuala Terengganu Berhad menerima pinjaman tertinggi yang berjumlah RM3.5 juta.

Suntikan dana yang besar bagi setiap koperasi itu memberi semangat baru untuk menjana keuntungan dan menambahkan daya saing di kalangan usahawan Bumiputera.

Replika cek sebagai simbolik penyerahan dana pinjaman itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Majlis Himpunan Koperator Satu Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (12 April 2012).

Seorang penerima yang mewakili Koperasi Al-Falah Kijal Kemaman, YM Raja Mazlan Raja Muda, berkata pinjaman berjumlah RM1,889,100.80 yang diterima bagi pihak koperasinya mencerminkan kerajaan yang prihatin menerusi dasar yang ditetapkan di peringkat Pusat serta negeri kerana berupaya menyediakan pelaburan cukup besar kepada setiap koperasi bagi memajukan ekonomi Bumiputera.

“Pinjaman kira-kira RM1.89 juta ini bertujuan untuk membiayai kos membeli empat aparment Samsuria Becah Residence di Sungai Ular Mukim Sungai Karang, Pahang bagi dijadikan sebagai tempat penginapan bagi tujuan disewakan kepada pelancong.

“Kami akan memastikan tempat penginapan ini mampu menjana hasil dan memberi keuntungan yang boleh dinikmati oleh 321 orang ahli yang berdaftar di bawah koperasi yang mula ditubuhkan sejak 2006 ini,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, SKM turut menyediakan Bantuan Pembangunan SKM kepada enam koperasi yang mendaftar melebihi dua tahun serta memiliki projek yang berdaya maju dan terlibat dalam Program Tukar dengan peruntukan keseluruhan RM280,000.

Koperasi terlibat termasuk Koperasi Adik Kakak kampung Pulau Rusa Kuala Terengganu Berhad (RM30,000), Koperasi Perwaja Kemaman Berhad (RM50,000), Koperasi Ladang Rakyat Kemaman Terengganu Berhad (RM50,000) dan Koperasi Peserta Felcra Seri Bandi Kemaman (RM50,000).

Selain itu, sejumlah RM50,000 turut disediakan sebagai Bantuan Pembangunan Koperasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada lima koperasi yang berpotensi dan berdaya saing untuk menyediakan kemudahan asas dengan masing-masing menerima suntikan RM10,000.

Koperasi berkenaan adalah Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad, Koperasi Noor Arfa Terengganu Berhad, Koperasi Peka Malaysia Berhad, Koperasi Wawasan Rukun Tetangga Losong Atap zin Kuala Terengganu Berhad dan Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian besut Berhad.