Halaman

08 April 2012

BN menang besar jika NGO sokong kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Barisan Nasional (BN) boleh menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di negeri ini memainkan peranan mereka membantu kerajaan, khususnya menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat mengenai kejayaan pemimpin BN membela nasib rakyat.

Kini terdapat hampir 1,000 NGO di negeri ini di mana lebih 300 pertubuhan amat aktif dan sering mengadakan pelbagai program sosial untuk ahli dan penduduk tempatan.

Setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar kepada NGO, khususnya bantuan geran pentadbiran dan pembiayaan program-program yang dilakukan mereka.

Pada tahun ini peruntukan RM2 juta telah diagihkan kepada semua NGO dan angka itu dijangka bertambah kerana kebanyakan NGO akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan tambahan bagi pelbagai tujuan, sebelum akhir tahun ini.

Kini sudah sampai masanya NGO membalas budi Kerajaan BN kerana selama ini mereka terlalu banyak bergantung kepada kerajaan bagi mendapatkan sumber kewangan.

Pemimpin NGO perlu ingat bahawa sewaktu Pas memerintah negeri ini, semua peruntukan untuk NGO, terutama golongan belia telah disekat dan mereka tidak menerima sesen pun daripada kerajaan negeri bagi menjalankan kegiatan masing-masing.

Pada masa pemerintahan Pas banyak pertubuhan belia terpaksa dibubar kerana pemimpinnya tidak mampu menjalankan kegiatan dan mengadakan mesyuarat disebabkan menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

Pemimpin NGO tentunya masih ingat bagaimana sukarnya mereka untuk ‘menghidupkan’ persatuan masing-masing kerana sikap pemimpin Pas yang tidak ambil peduli kepada NGO.
Mereka perlu bertindak mulai sekarang bagi memastikan persatuan masing-masing terus aktif dengan cara membantu mengekalkan kuasa Kerajaan BN selepas PRU 13.

Mulai sekarang pemimpin NGO perlu lebih proaktif menjalankan majlis-majlis penerangan kepada rakyat bagi menjawan isu-isu yang dilemparkan pihak pembangkang bagi melemahkan kerajaan.

NGO perlu menjadi penyalur kerajaan kepada rakyat untuk menjelaskan isu-isu tersebut agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang. Inilah masanya mereka membalas budi Kerajaan BN demi bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin pembangkang untuk merampas kuasa politik daripada BN.