Halaman

08 April 2012

Anak Terengganu jadi wanita Malaysia pertama ke temasya Olimpik

Oleh FAUZI MOHD

Meskipun gagal memenangi sebarang pingat dalam acara keirin pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Dunia di Velodrom Hisense Arena, Melbourne semalam, ratu keirin negara, Fatehah Mustapa ada sebab untuk berasa gembira.



Biarpun sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11, anak kelahiran Kuala Berang, Hulu Terengganu masih mampu melakar sejarah apabila menjadi pelumba wanita Malaysia pertama yang layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

"Nasib saya kurang baik. Ada sedikit masalah pada aksi separuh akhir. Saya sepatutnya mengekori pelumba Perancis (Clara Sanchez) tetapi saya tidak melakukannya. Itu adalah kesilapan besar yang saya buat.

"Alhamdulillah, saya dapat juga No. 11 daripada langsung tidak masuk peringkat separuh akhir.

"Saya akan belajar daripada kesilapan dan selepas ini, saya akan baiki kelemahan. Saya akan tengok semula rakaman video perlumbaan-perlumbaan sebelum ini.

"Kini, saya akan fokus untuk Sukan Olimpik pula," kata Fatehah menerusi laman sosial, Facebook miliknya semalam.

Kelmarin, Fatehah berjaya merakamkan masa peribadi terbaik dan memecah rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara pecut 200 meter meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan pertama.

Pelumba itu mencatat masa 11.487 saat bagi memadam catatan sebelum ini - 11.5s yang dilakukannya pada Siri Piala Dunia Klasik di London, Februari lalu.

Awal Februari lalu, Fatehah turut mencipta sejarah apabila muncul pelumba wanita pertama memenangi pingat emas dalam acara keirin pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.

Tumpuan di Velodrom Hisense Arena hari ini pasti terarah kepada dua pelumba sensasi negara - Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng.

Kedua-dua pelumba itu akan turun dalam acara kegemaran mereka - keirin lelaki selepas Malaysia telah mengesahkan telah satu slot ke Sukan Olimpik 2012.