Halaman

13 April 2012

Yakin undi BN meningkat- Dato’ Yahya

Oleh: Suriati Ali

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib percaya undi populariti Barisan Nasional (BN) akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding PRU-12 pada 2008.

“Keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

"Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan pelbagai program khususnya mendekati golongan muda terutama mengajak mereka mempertahankan pembangunan dan kemajuan yang sedang rancak dilakukan di negeri ini.

UMNO juga katanya lagi kini mahu rakyat menghayati slogan "Tidak Pernah Sebelum Ini dan Masihkah Kau Ingat" sebagai ingatan agar mereka tidak memperjudikan masa depan mereka dengan menyokong pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Slogan "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’" merujuk kepada projek pembangunan untuk rakyat yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN dan tidak wujud pada zaman pemerintahan Pas.

Antaranya pembinaan lebuh raya, kompleks belia, pembesaran lapangan terbang, mewujudkan universiti serta pelbagai projek infrstruktur yang lain.

Manakala slogan "Masihkah Kau Ingat" pula menjurus kepada kezaliman yang dilakukan oleh Pas ketika mereka memerintah seperti menghalau kanak-kanak Tabika Kemas daripada premis belajar, penyelewengan hasil balak dan pelbagai bentuk kezaliman lain.