Halaman

08 April 2012

Pas gadai nyawa rakyat demi undi

Oleh: Aida Abd Rahman

Demi meraih sokongan rakyat terhadap Pas, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sanggup mempertaruhkan nyawa peniaga di Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu dengan menabur janji palsu untuk tidak merobohkan pasar itu jika Pas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasar berkenaan perlu dirobohkan segera berikutan tidak lagi selamat untuk diduduki selepas Jabatan Kerja Raya mengesan banyak kerosakan pada struktur asal terutama bahagian bawah bangunan itu.

“Kita sudah terima surat daripada Bahagian Forensik, JKR yang meminta kita robohkan bangunan pasar itu dalam tempoh enam bulan. Kerajaan negeri minta dilanjutkan kepada setahun, mereka (JKR) tidak benarkan.

“Kita tahu pasar ini agak lama, segala besi di bahagian bawah bangunan semuanya sudah reput.. sudah tiada besi lagi, bila-bila masa sahaja boleh runtuh dan tumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tindakan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman yang mengadakan ceramah di Pasar Kedai Payang, baru-baru ini yang menjanjikan kononnya Pas tidak akan merobohkan pasar tersebut jika parti itu menang PRU-13.


Menteri Besar berkata, tindakan pemimpin Pas termasuk Dr Syed Azman seorang yang `cerdik’ bertindak mempengaruhi peniaga dengan menabur janji palsu demi menjayakan agenda politik adalah suatu yang amat malang dan mendukacitakan.

Katanya, kerajaan negeri yang mengambil kira aspek keselamatan peniaga dan pengguna pasar berkenaan mahu segera memindahkan sebahagian peniaga di bahagian yang mengalami kerosakan teruk itu, terutama pasar basah yang menjual sayur, ikan, dan daging ke pasar baru di Pasar Chabang Tiga.

Sementara sebahagian peniaga di bahagian pakaian dan barang kering yang lain dikekalkan, selain kerajaan akan melaksanakan kerja pengubahsuaian dan menaik taraf pasar yang melibatkan perbelanjaan ratusan juta untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan baru di Terengganu

“Saya boleh benarkan (peniaga kekal di pasar itu) dengan syarat kita keluarkan surat, dengan menyatakan pertama, peniaga pasar sanggup menanggung risiko tidak menyalahkan kerajaan terhadap sebarang kejadian (runtuh). Kedua, kita akan memasang satu papan tanda amaran yang besar menghalang pengguna ke pasar berkenaan kerana tidak selamat dan kerajaan tidak akan bertanggungjawab jika apa-apa berlaku .

“Nanti mereka menyalahkan kerajaan pula, seolah-olah menghalang orang ke pasar..tetapi kerajaan perlu melindungi keselamatan orang ramai.Ini masalah kita sebenarnya. Sepatutnya kita tidak menghalang pembangunan demi perubahan dan masa depan mereka sendiri serta keselesaan semua, tapi segelintir kita memilih untuk mundur ke belakang,” katanya.